Berita

Proses Akta Pencegahan Jenayah menyamai ISA

KUALA LUMPUR, 2 APRIL: Tindakan kerajaan menguatkuasakan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 jelas merupakan langkah zalim untuk mengembalikan semula penahanan tanpa bicara.

Menurut Naib Pengerusi DAP Teresa Kok Suh Sim, penguatkuasaan PCA merupakan satu lagi titik hitam untuk negara kerana prosesnya yang menyamai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Saya sangat kesal dengan penguatkuasaan PCA kerana ia merupakan akta zalim yang bercanggah dengan hak asasi manusia dan membolehkan individu itu walaupun hanya di syaki sebagai penjenayah ditahan selama 2 tahun,” ujarnya yang turut pernah menjadi tahanan ISA.

“Rang Undang-Undang (RUU) PCA ini telah kita (DAP) tentang di Parlimen , namun kesemua fasal yang dibawa ditolak begitu saja dan seterusnya dipinda sehingga akhirnya dikuatkuasakan hari ini,” tambah Ahli Parlimen Seputeh itu lagi.

“Ia juga merupakan langkah ke belakang dan tidak menghormati demokrasi,” katanya ketika dihubungi Roketkini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 31 Mac lalu menyatakan PCA akan dikuatkuasakan mulai hari ini dalam persidangan Dewan Rakyat.

Pindaan terhadap akta itu dakwa beliau adalah untuk memerangi dan mencegah jenayah dengan lebih berkesan.

Menerusi pindaan itu, tiga profesional mewakili badan kehakiman dari Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi akan dilantik menganggotai Badan Pencegahan Jenayah yang akan dibentuk kelak.

Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini membantah keras pindaan akta itu kerana bukan saja mengembalikan undang-undang zalim tapi membolehkan kerajaan menyalahgunanya untuk lawan politik.

Akta itu juga bercanggah dengan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 16 September 2011 yang bercadang untuk menghapuskan ISA dan Ordinan Darurat (EO). – Roketkini.com