Rencana

ISA datang lagi Oleh Izmil Amri

UNDANG-undang drakonian yang membenarkan penangkapan dan penahanan tanpa bicara, Akta Keselamatan Dalam Negeri atau lebih popular dengan nama ISA sudah tidak ada lagi. Kita sama-sama telah bersorak dan menitiskan air mata apabila Perdana Menteri dengan tali leher jingga dan tubuh yang begitu kaku menuturkan pengumuman tersebut sewaktu meraikan Hari Malaysia beberapa tahun lalu.

Perdana Menteri Najib Razak dilihat seakan seorang hero yang membebaskan segerombolan manusia tidak bersalah dari belenggu yang sudah mengikat mereka sekian lama. Yang menganggap Najib sebagai idola barangkali melihat beliau seakan-akan di baris hadapan dalam peristiwa menyerang penjara Bastille di ambang Revolusi Perancis.

Bukan sahaja memansuhkan ISA, Najib Razak turut menghentikan tempoh darurat yang telah berkuatkuasa sejak sebelum merdeka, lantas membatalkan ordinan darurat dan undang-undang lain yang berkaitan dengannya. Najib Razak adalah adiwira transformasi negara, pembawa cahaya ke dalam gelap yang menerangi alam semesta.

Namun, malang sekali, ini semua sekadar ilusi dan pembohongan yang melintas di depan mata kita semua tanpa disedari sifat hakikinya itu. Seperti melihat seorang transeksual di Pasar Pudu di bawah remang cahaya malam. Kalau diadili daripada bentuk badan, hampir pasti sahaja perempuan. Namun bila dihampiri dan suaranya garau ‘semacam’, barulah diketahui rupa-rupanya jantan.

Pemansuhan ISA yang dicanang-canang Najib Razak itu adalah ibarat ‘maknyah’ tadi. Lain yang kita sangka, lain pula yang jadi.

Apa yang jadi?

Reinkarnasi ISA terjadi dalam beberapa fasa. Ia awalnya lahir ke dalam tubuh satu Akta baru yang diberi nama Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau pendeknya SOSMA. (Ya, sebut betul-betul. SOSMA.. bukan Ros.. err, tak apa lah.)

SOSMA lahir April 2012 dengan bertujuan “bagi menyediakan langkah-langkah khas berkaitan kesalahan keselamatan bertujuan mengekalkan ketenteraman awam dan keselamatan dan bagi hal-hal berkait.”

SOSMA tidak banyak beza dengan ISA. Akta baru ini membenarkan penangkapan dan penahanan tanpa bicara. Soal ‘tahan tanpa bicara’ ialah soal pokok yang dilawan sewaktu ISA masih ada. Itulah dia roh dan semangat akta tersebut yang menjadi masalah kepada ramai orang. Tahan tanpa bicara adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, dan melanggar peruntukan-peruntukan hak asasi manusia.

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa apabila seseorang individu itu ditahan, ia mestilah dimaklumkan atas sebab apa dia ditahan dan dibenarkan berunding untuk membela diri dengan bantuan peguam. Perkara 5 Perlembagaan juga memperuntukkan bahawa seorang individu yang ditangkap itu harus dihadapkan ke mahkamah dalam masa 24 jam, dan tanpa kebenaran majistret, individu yang ditahan itu tidak boleh ditahan lebih lanjut.

Sama juga halnya dengan makhluk yang satu lagi dengan ciri-ciri serupa dipanggil Akta Pencegahan Jenayah. Tidak perlu sebenarnya kita mempertimbang soal-soal remeh dan teknikal untuk menghalalkan akta baru yang diwujudkan demi ‘mencegah jenayah’. Itu bukan tugas akta. Itu tugas polis. Polis tidak perlukan akta yang menghalalkan penahanan tanpa bicara untuk ‘mencegah jenayah’. Bunyi macam malas sungguh.

Malas kerana menahan tanpa bicara ini maksudnya tidak perlu siasat banyak atau kemukakan bukti-bukti kukuh untuk diuji di mahkamah sebelum menyabitkan seseorang dengan sesuatu kesalahan. Mudah lah kerja. Ya, memang berkesan. Syak si polan mahu rancang suatu jenayah, meski belum melakukannya sudah boleh dihumban ke penjara.

Tapi keadilannya mana? Sejak bila manusia mula menghukum manusia lain atas kerana tidak atau belum melakukan kesalahan? Sejak bila pula manusia mula mengurung orang yang disyaki bersalah sebelum disabitkan salah oleh mahkamah? Ini undang-undang kandang kerbau. Undang-undang pagar elektrik keliling kandang kerbau. Belum sempat kerbau keluar kandang, tersentuh pagar sudah kena ‘karan’. Mati.

Salahguna

Undang-undang tahan tanpa bicara berkesan untuk banyak perkara, antaranya termasuklah untuk mengurung orang yang berani bersuara melawan kerajaan. Kita telah melihat ini dilakukan beberapa kali di zaman Mahathir, dan ini terbukti berkesan untuk membungkam suara-suara yang bertingkah dengan suara Mahathir.

Tanpa bukti, tanpa bicara di mahkamah, tanpa dipanggil membela diri, sesiapa sahaja yang dirasakan boleh menggugat pemerintah boleh diheret dan disumbat ke dalam kurungan untuk dibasuh kepala otaknya oleh aparat kerajaan, atau lebih celaka diperlakukan dengan penyeksaan fizikal sepertimana yang telah kita dengar dan baca dari tulisan-tulisan mereka yang sudah masuk dan keluar tahanan sebegini.

Ini juga jalan mudah bagi pemerintah yang kehabisan jawapan untuk soalan-soalan susah yang sering dipersoalkan oleh pemimpin-pemimpin parti oposisi. Amalan memberi soalan susah akan membuatkan rakyat berfikir dan ini bukan perkara yang bagus untuk kerajaan. Jadi kurung sahaja mereka yang banyak mempersoal, tutup mulut mereka, seksa mereka; asalkan tak perlu jawab soalan-soalan susah.

Salahguna begini yang menjadi antara kerunsingan utama mereka yang bermati-matian melawan akta drakonian ISA dan apa yang kini dilihat sebagai penjenamaan semula undang-undang tersebut dengan ‘pakaian’ yang lebih molek dipandang mata, meski isinya tetap busuk dan jahat sifatnya.

Inilah dia transformasi yang dijanjikan pentadbiran Najib Razak. Transformasi yang sekadar ilusi, seperti seorang lelaki yang mahu menukar jantina. Biarpun nampak macam perempuan dan berulang kali mengakui dirinya ‘tulen’, dia tetap jantan. – Roketkini.com