Berita

MH370: DAP gesa Najib adakan sidang tergempar Parlimen

KUALA LUMPUR, 13 APRIL: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak digesa supaya mengadakan sidang tergempar Parlimen untuk menyegerakan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC), kata Ketua Pembangkang DAP Lim Kit Siang.

“Mesyuarat tergempar Parlimen perlu dilakukan sebelum bulan depan untuk menubuhkan PSC yang diketuai oleh pembangkang untuk meneliti isu kehilangan pesawat MH370,” gesa beliau.

Menurut Kit Siang, PSC semakin diperlukan kerana makin banyak kekeliruan timbul, terutama berikutan pengumuman mengejutkan pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam bahawa dua wakil Jabatan Penerbangan Awam (JPA) akan dihantar ke Perth, Australia, untuk menyertai Joint Agency Coordinating Centre (JACC).

“Mengapa baru sekarang Malaysia menghantar wakil untuk menyertai JACC sedangkan carian di Lautan Hindi telah bermula sejak tiga minggu lepas?

“Apakah ini bermakna selama ini Malaysia tidak terlibat di peringkat tertinggi operasi mencari yang telah berpengkalan di Perth selama hampir tiga minggu?” soal Kit Siang.

Menurut Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi, sidang tergempar Parlimen juga perlu dipanggil memandangkan pelbagai jawatankuasa siasatan telah ditubuhkan di luar pengetahuan Parlimen dan orang ramai, termasuk Multi-Economic Impact Committee yang hanya diketahui penubuhannya menerusi media.

“Menerusi media hari ini, kita mengetahui buat pertama kali bahawa kerajaan Malaysia telah membentuk Multi-Economic Impact Committee untuk mengurangkan dampak dari tragedi MH370 ke atas negara dari segi hubungan pelancongan, perdagangan, dan pelaburan antara negara ini dan China,” ujarnya. -Roketkini.com