Rencana

Michael Cornelius: Pejuang setia bersama Karpal

Di mana ada Karpal, di situlah juga Michael.

Sukar menggambarkan pengorbanan pembantu peribadi Karpal Singh, mendiang Michael Cornelius Selvam Vellu, 39, yang turut terkorban bersama-sama bekas Pengerusi DAP Kebangsaan dalam kemalangan jalan raya awal pagi tadi.

Beliau setia bersama ‘Harimau Jelutong’ itu – ketika di mahkamah menghadiri perbicaraan, di Dewan Rakyat semasa Parlimen bersidang, sehinggalah di pejabat guamannya yang sederhana di Jalan Pudu, Kuala Lumpur.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Piasau Alan Ling Sie Kiong mengimbas kembali pengalamannya mengenali Michael ketika latihan dalam kamar di firma guaman Karpal sekitar 2009.

“Peranan Michael sangat penting kepada Karpal. Tugasnya tidak mudah, perlu ada di sisi ‘bos’ 24/7,” kata Alan.

“Mendiang sentiasa di pejabat sehingga 11 malam bersama-sama ‘bos’,” tambahnya. “Malah, dia juga perlu berjaga beberapa kali pada tengah malam untuk ubah kedudukan mengiring ‘bos’ ketika tidur.”

Ekoran kesibukan itu, katanya lagi, Michael sangat jarang pulang ke kampung halamannya di India. Kalau pun pulang, ia untuk tempoh yang sekejap – sekitar dua minggu.

Sehinggalah kemalangan yang meragut nyawanya awal pagi tadi.

Tidak lupa kirim wang kepada keluarga

Michael mula menjadi pembantu Karpal selepas Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu lumpuh akibat terlibat dalam kemalangan pada 2005.

Berasal dari Vellore, Tamil Nadu di selatan India, beliau meninggalkan seorang isteri, seorang anak lelaki dan perempuan. Jenazahnya akan diterbangkan untuk disemadikan di sana.

Dengan nada hiba, Alan memberitahu, “Kesibukannya itu sehingga beliau pernah meminta saya mengirimkan wangnya kepada keluarga di sana. Masa berehat untuknya adalah di dalam kereta ketika dalam perjalanan.”

Kristian yang warak

Menurut Alan, Michael berasal daripada keluarga miskin dan mula berkhidmat dengan Karpal selepas bertemu dengannya ketika menerima rawatan di India.

Beliau juga mengenali mendiang sebagai penganut Kristian yang warak dan sentiasa membawa kitab Bible bersama-sama.

“Michael sentiasa membawa Bible bersama ke mana-mana sahaja. Ketika perkahwinan saya dan menang Pilihan Raya Negeri Sarawak (pada 2011), beliau menghantar hadiah dan kad kepada saya yang tertulis petikan-petikan daripada Bible yang boleh memberi semangat.

“Saya akan sentiasa mengenangnya.”- Roketkini.com