Rencana

Riwayat seorang harimau (Bhg 1) – Al-Mustaqeem M Radhi

Tulisan ini dikarang pada tahun 2012 untuk tujuan penerbitan dalam buku “Pantang Undur”, sempena ulangtahun ke-70 Karpal Singh. Entah bagaimana, makalah ini tercicir daripada penerbitan buku tersebut dan baru hanya disedari pada hari ini, 17 April, hari Sang Harimau meninggal dunia. Kini ia diterbitkan buat pertama kali dalam Roketkini menurut edisi asal tanpa sebarang penambahan atau suntingan.

==

 

“Apa perkataan pertama terlintas dalam kepala hang kalau orang sebut nama Karpal Singh?” bunyi soalan yang saya kirim melalui SMS kepada enam orang sahabat saya. Ini tinjauan kecil-kecilan yang saya buat sewaktu saya tertanya-tanya bagaimana pandangan orang biasa terhadap Karpal.

Sahabat-sahabat saya itu semuanya orang kebanyakan, wong cilik kata orang Indonesia, memberikan jawapan-jawapan berikut:

Sahabat A: “Peguam terhebat”

Sahabat H: “Kaki putaq terbaik…lagenda”

Sahabat F: “Lawyer terbaik, pejuang DAP tulen”

Sahabat K: “Ketegaq tak padan duduk atas kerusi roda”

[Oh, ya, hanya empat yang membalas SMS, seorang daripada mereka tak mampu memikirkan soalan sebab terlampau susah hati kerana poket kering, seorang lagi tak membalas, mungkin sebab belum bayar bil telefon.]

Tiga daripada jawapan mereka merujuk kepada Karpal sebagai seorang peguam, termasuk yang menyebut “kaki putaq” (putar), istilah yang biasa dipakai orang Kedah untuk merujuk kepada peguam dan pengertiannya adakala negatif dan adakala positif. Dalam konteks ini, jawapan sahabat saya itu positif—watak lumrah orang Kedah yang waktu memuji pun agak kasar bahasanya. Manakala seorang lagi melihat Karpal sebagai seorang pejuang politik yang tak kenal undur (ketegaq [ketegar]: degil/enggan mengalah), walaupun kemampuan tubuhnya telah terbatas.

Kemungkinan kalau ditanya lebih banyak orang, mereka akan pertama-tama sekali menyebut Karpal Singh sebagai peguam. Kalangan yang membenci Karpal lantaran pandangan politiknya paling tidak akan ‘angkat topi’ kepada Karpal sebagai seorang peguam. Karpal sendiri melihat dirinya lebih sebagai seorang peguam berbanding sebagai ahli politik. Kata Karpal, “Undang-undang lebih payah. Anda perlu sentiasa bersedia dan otak anda bekerja sepanjang masa. Anda berdepan dengan hakim dan lawan-lawan anda di mahkamah di waktu pagi, bersedia dan mengkaji kes hingga lewat malam.” Selain itu, tugas sebagai peguam ternama sepertinya sukar kerana orang awam memerhati dengan dekat. “Kalau anda tidak mempunyai kecenderungan alami dalam kerja ini, anda mati,” ujar Karpal.

Bagaimanapun orang-orang di dalam dan luar negeri mengiktiraf Karpal sebagai salah seorang peguam terbaik, khususnya dalam soal perlembagaan. Pencapaiannya dalam bidang undang-undang bukan sekadar memenangi kes-kes yang sukar, malah dalam mengembangkan pentafsiran undang-undang. Hal ini diakui antaranya oleh sarjana perundangan dan pensyarah kanan Universiti Teknologi Mara Datuk Dr Shad Saleem Faruqi:

“Sepanjang kerjayanya, beliau menjadi teman orang-orang yang tertindas dan terpinggir. Beliau menjalani kehidupannya dengan keberanian dan integriti, dan beliau tidak pernah takut untuk mengambil kes-kes yang hampir mustahil dimenangi. Beliau mempunyai pasukan ahli perundangan yang bagus dan mereka mereka meluaskan ufuk perundangan justeru pentafsiran-pentafsiran mereka yang inovatif.”

Harimau Politik

Selain kerana kehebatannya sebagai peguam, nama Karpal dikenal hampir setiap orang kerana penentangannya terhadap usaha penubuhan negara Islam. Boleh dikatakan tiada ungkapan politik lebih masyhur di negara ini daripada kata-kata Islamic state over my dead body” yang diledakkannya. Kenyataan yang telah diselewengkan oleh media-media pro-kerajaan ini tetap tidak dilupakan walaupun Karpal telah meminta maaf secara terbuka dalam suatu majlis di Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang, yang dihadiri oleh sekitar 1000 orang, termasuk beberapa pemimpin tertinggi PAS. Malah akhbar New Straits Times dalam wawancara dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah melaporkan bahawa Karpal telah meminta maaf tentang perkara tersebut.

Dalam soal hubungan agama dengan negara, sekurang-kurangnya ada dua kelompok manusia. Satu kelompok percaya bahawa “negara agama”, tidak kira negara Islam atau negara Hindu atau negara Sikh atau negara Kristian, wajib ditegakkan. Satu kelompok lagi percaya bahawa agama adalah urusan peribadi manusia antara si-dia-yang-beriman dengan Tuhan di mana negara (atau kerajaan) tidak berhak untuk campurtangan dalam hubungan tersebut; maka kelompok ini mempertahankan negara sekular. Dalam kelompok kedua ini ada sebahagian orang yang amat kuat beragama, dalam pengertian bahawa mereka mengambil tanggungjawab peribadi mengakrabkan diri mereka dengan Tuhan dalam soal beriman dengan perkara-perkara yang ghaib, manakala dalam soal kemasyarakatan mereka kuat berpegang dengan prinsip-prinsip sejagat yang terkandung dalam agama-agama dunia, misalnya prinsip kebebasan, keadilan, kesetaraan dan sebagainya.

Dalam kelompok mana Karpal? Menurut Karpal sendiri, dia seorang yang beragama, meskipun tidak ke kuil setiap minggu, dan keimanannya diukur pada prinsip-prinsip apa yang dipegangnya dan seteguh mana dia berpegang dengan prinsip-prinsip berkenaan. Oleh itu, kenyataan Karpal tentang negara Islam itu sama sekali tidak boleh dijadikan alasan untuk menuduhnya sebagai anti-Islam atau anti-agama. Ia sekadar menunjukkan bagaimana Karpal menanggapi soal agama dan keimanan. Pendirian Karpal itu juga selari dengan sifatnya sebagai seorang warga Malaysia, apatah lagi sebagai pengamal undang-undang, yang berkewajipan mempertahankan perlembagaan dan sebagai anggota DAP yang memperjuangkan negara sekular.

Sememangnya keteguhan Karpal dalam berpegang dengan prinsip serta kelantangannya menyuarakan kebenaran menjadi ciri-ciri kepimpinan politiknya. Sewaktu krisis keperlembagaan di Perak, dia telah menegaskan bahawa Perlembagaan membenarkan kes yang bersangkutan dengan Sultan dibawa ke mahkamah. Tahun lalu dia menuduh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai diktator, menyebabkannya digantung selama sepuluh hari daripada Parlimen setelah beberapa kali mengulang tuduhan tersebut. Di separuh kedua dekad yang lalu, setelah dihalang mendapatkan mengemukakan soalan kepada Menteri Dalam Negeri dia berkata kepada Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, “Anda tak cukup berani untuk membenarkan saya bercakap!”

Menariknya, bukan hanya lawan-lawan politiknya yang pernah dikecam. Sewaktu isu lompat parti panas di awal tahun 2009, Karpal pernah menyelar Anwar Ibrahim yang dilihatnya sebagai punca masalah dalam pakatan pembangkang ketika itu. Dalam isu yang sama Karpal malah turut mengecam sahabat baiknya Lim Kit Siang serta Lim Guan Eng.

Kata Datuk Michael Chong, ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, “Karpal adalah salah seorang daripada mereka yang bersuara menurut apa yang dilihatnya. Ketika dia merasa kerajaan berbuat salah, dia menegur. Ketika dia merasa kerajaan telah melakukan sesuatu yang baik, dia turut memberi pujian. Bagi saya, itu menunjukkan beliau melakukannya kerana cintanya terhadap negara ini. Kerana itu saya menghormatinya.”

Kelantangan dan keberanian Karpal bukan cuma mengundang pujian, malah juga ancaman. Pada tahun 2008, seseorang menghantar sebutir peluru hidup berukuran 9mm ke pejabatnya di Pudu Lama. Nota yang disertakan dengan peluru itu menyebut: “Karpal Singh, kau jangan cuba persoalkan keistimewaan orang Melayu, kau jangan cuba mempersoal kuasa raja-raja Melayu, kalau kau tak berhenti, peluru ini akan melekat pada kepala dahi kau, ingat kau Benggali, jangan lupa. Ini adalah amaran pertama.”

Itu bukan kali pertama Karpal menerima peluru dan sepanjang 40 tahun penglibatannya dalam dunia politik dan perundangan dia telah menerima bermacam ancaman, maki-hamun, kutukan dan malah pernah dipenjarakan.

Tunku Abdul Rahman, tokoh negara ini yang paling dikagumi Karpal, menurutnya “telah bertekad untuk menjadi pemimpin bagi semua bangsa Malaysia, tanpa mengira kaum.” Ada bertimbun-timbun bukti untuk membuatkan kita percaya bahawa tekad Karpal juga tidak kurang daripada itu dan untuk itu dia, seperti Gandhi yang dikaguminya, sanggup mempertaruhkan nyawa sendiri demi bangsa dan negaranya.

Bersambung…