Berita

Laungan ‘Karpal Singh!’ iringi perjalanan terakhir

GEORGE TOWN, 20 APR: “Karpal Singh! Karpal Singh!” laung rakyat di Dewan Sri Pinang mengiringi jenazah mendiang yang diangkat dari pintu utama menuju perjalanan terakhir untuk disemadikan di Krematorium Batu Gantung.

Mereka kemudian melambaikan tangan dan memberikan tepukan gemuruh. Isyarat paling sesuai bagi sebuah pengakhiran hidup penuh ‘warna’ individu bernama Karpal Singh yang juga dikenali sebagai ‘Harimau Jelutong’ – ahli politik dan peguam terkemuka.

Malah, tidak sedikit yang mengesat air mata sepanjang majlis itu.

Jenazah Karpal tiba dengan iringan kereta dan motorsikal berkuasa tinggi dan disambut persembahan pancaragam St. Xavier Institution – tempat beliau mendapat pendidikan awal.

Puluhan ribu rakyat dari seluruh negara memenuhi Dewan Sri Pinang dan kawasan sekitarnya untuk memberikan penghormatan terakhir kepada negarawan itu.

Mereka berkumpul seawal jam 8 pagi. Keadaan yang semakin sesak dan cuaca panas terik tidak menghalang mereka untuk terus berada di sana.

Sepanjang hampir empat jam, rakyat tidak putus-putus berbaris panjang bagi memberikan penghormatan terakhir kepadanya.

Sekitar jam 12 tengah hari, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyampaikan ucapan penghormatan terakhir, sebelum pimpinan Pakatan Rakyat memberikan tunduk hormat kepada jenazah.

Jenazah kemudian dibawa ke Krematorium Batu Gantung, juga diiringi kereta dan motorsikal berkuasa tinggi serta ahli keluarga dan pimpinan Pakatan Rakyat.

Antara yang hadir adalah Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, serta kebanyakan pimpinan DAP lain.

Bermula Jumaat sehingga semalam, kediaman mendiang di Jalan Utama di sini tidak putus-putus menerima kunjungan tokoh masyarakat dan orang ramai yang ingin melahirkan rasa simpati terhadap keluarga mendiang.

Karpal terkorban dalam satu kemalangan jalan raya bersama-sama pembantu peribadi Michael Cornelius berhampiran susur keluar Gopeng Lebuh Raya Utara Selatan, dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Khamis lalu.

Mendiang meninggalkan isteri Gurmit Kaur, lima anak dan sepuluh cucu. – Roketkini.com