Berita

Impian Malaysia: kelas percuma untuk anak Orang Asli

KUALA LUMPUR, 23 APR: Anak-anak Orang Asli di Kampung Orang Asli Buluh Telor (KOABT), Kuala Kubu Bharu, Selangor, kini berpeluang menyertai kelas tambahan percuma setiap hujung minggu di bawah program Impian Malaysia.

Program perintis yang dinamakan Kelas Maju Diri dan Jalinan Kasih itu adalah inisiatif pertama Impian Malaysia DAP di negeri Selangor, dengan kerjasama NGO Pertubuhan Amal Seri Sinar (PASS) dan dijalankan setiap Sabtu dan Ahad, jam empat hingga enam petang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Kuala Kubu Bharu Lee Kee Hiong berkata, objektif program adalah untuk membantu anak-anak Orang Asli yang keciciran dan membangkitkan minat mereka dalam pelajaran.

“Banyak anak-anak Orang Asli yang hanya belajar setakat sekolah rendah. Mereka sukar memahami pelajaran di sekolah, maka kurang berminat untuk teruskan ke peringkat lebih tinggi.

“Sebab itu, program ini bukanlah sekadar kelas tuisyen biasa. Kita cuba bangkitkan minat mereka melalui permainan perkembangan minda agar ia lebih menyeronokkan. Kita ingin lihat lebih ramai di kalangan mereka yang berjaya dalam pelajaran,” katanya kepada Roketkini.

“Kajian menunjukkan sukatan pelajaran di sekolah tidak sesuai dengan anak-anak Orang Asli. Perlu ada ko-kurikulum yang khusus untuk mereka,” tegasnya lagi.

Katanya lagi, program itu dilancarkan 13 April lalu dan peringkat pertama akan berjalan selama tiga bulan.

“Selepas itu, kita akan buat penilaian dan sediakan laporan kepada penaja iaitu PASS agar mereka teruskan sumbangan. Kita berharap agar program ini berjaya dan jika ada permintaan, kita akan timbang untuk buat di tempat lain pula,” katanya lagi.

Katanya lagi, dana diperlukan untuk elaun tenaga pengajar, barangan keperluan seperti meja dan alat pembelajaran serta makanan dan minuman untuk pelajar. – Roketkini.com