Berita

Najib dan Muhyiddin diundang ke Malam Kenangan Karpal Singh esok

KUALA LUMPUR, 23 APR: DAP mengundang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku tetamu kehormat untuk hadir dan berucap di Malam Kenangan Karpal Singh esok.

Ia bagi membuktikan bahawa acara itu tidak bermotif politik, tetapi untuk menghargai seorang negarawan yang banyak memberi sumbangan kepada negara, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

“Saya ingin beri jaminan bahawa acara memperingati mendiang di Kuala Lumpur esok dan negeri-negeri lain seterusnya bukanlah acara politik atau acara DAP, sebaliknya sebuah majlis di peringkat kebangsaan untuk menghargai seorang yang telah menghabiskan hidupnya untuk memberi kebaikan kepada rakyat dan negara.

“Bagi membuktikannya, saya menjemput Najib dan Muhyiddin untuk menjadi tetamu kehormat dan berucap pada malam esok. Mereka dialu-alukan sepenuhnya bukan sahaja oleh penganjur, malah oleh rakyat yang akan hadir nanti,” katanya dalam satu kenyataan.

“Saya berharap Muhyiddin atau Najib, atau kedua-duanya, akan memberi kejutan kepada rakyat dan menunjukkan bahawa sikap remeh-temeh yang membawa kepada pembatalan kelulusan penggunaan dewan yang telah diberikan oleh SJK(C) Chung Kwo oleh Kementerian Pendidikan belum menjangkiti pimpinan tertinggi negara,” katanya lagi.

Pagi tadi, Kementerian Pendidikan mengarahkan pihak sekolah membatalkan persetujuan yang diberikan kepada DAP untuk menggunakan dewan besar sekolah itu atas alasan ia adalah acara politik.

Ekoran larangan itu, Malam Kenangan Karpal Singh dipindahkan ke Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH), Jalan Maharajalela.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu menganggap tindakan itu sebagai sesuatu yang amat menyedihkan dan tidak boleh diterima, memandangkan Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan telah menyampaikan takziah kepada keluarga Karpal secara peribadi dan mengiktiraf sumbangan bekas Pengerusi DAP Kebangsaan itu selaku Ahli Parlimen.

“Muhyiddin yang mewakili kerajaan dan Umno bukan sahaja menyampaikan takziah, malah mengiktiraf sumbangan mendiang kepada Parlimen dan memujinya kerana telah ‘memainkan peranan sebagai Ahli Parlimen dengan baik’ dan ‘akan sentiasa dikenang kerana memiliki pandangan yang dihormati dan disegani ramai’,” ujar Kit Siang.

Berikutan tindakan Kementerian Pendidikan itu, beliau membangkitkan persoalan sama ada Muhyiddin mengungkapkan kata-kata itu secara jujur.

Tindakan menghalang penganjuran Malam Kenangan Karpal Singh di Dewan Besar SJK(C) Chung Kwo juga dikecam kerana dewan itu telah dibina tanpa sebarang sumbangan daripada kerajaan dan sebaliknya menggunakan dana yang dikumpul daripada ibu-bapa pelajar dan orang ramai, termasuk daripada DAP Cheras yang telah mengutip sebanyak RM1.5 juta untuk tujuan tersebut. – Roketkini.com

malam kenangan_Fb cover-01