Berita

Hudud: PAS perlu nilai sedalamnya ‘sokongan’ Umno

KUALA LUMPUR, 29 APR: DAP menggesa PAS menilai sedalam-dalamnya kesan politik yang bakal dihadapi, akibat termakan dengan ‘sokongan’ Umno dalam rancangannya melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan.

Ini kerana Umno selama ini tidak pernah menyokong, malah menjadi penghalang utama parti itu dalam melaksanakannya sejak era pentadbiran bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) di sini semalam.

“Perangkap Umno dibuka melalui kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Parlimen, kononnya Umno sanggup menolong PAS melaksanakan hudud.

“Dengan jatuh ke dalam perangkap Umno, PAS berisiko mengkhianati sokongan pengundi bukan-Islam yang memilihnya dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 dan (mencetuskan) perpecahan Pakatan Rakyat yang sangat diidam-idamkan Umno.

“PAS juga pada PRU akan datang menanggung risiko kehilangan Kelantan sepertimana Terengganu dalam PRU pada tahun 2004 selepas meluluskan hudud pada tahun sebelumnya, serta tewas semua kerusi yang dimenangi dengan sokongan bukan-Muslim di negeri-negeri lain,” tegas Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi.

Isu yang sering menjadi senjata Umno terhadap PAS itu kembali timbul, selepas PAS Kelantan merancang membentangkan rang undang-undang persendirian pelaksanaan hudud di Parlimen Jun ini.

Sehingga tahun 2011, Umno konsisten menentang hudud apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika itu menyatakan, kerajaan tidak akan menguatkuasakannya ekoran faktor keadaan dan realiti semasa.

Namun, nada itu tiba-tiba berubah selepas Najib baru-baru ini dilaporkan berkata, bersedia mendengar cadangan PAS dan mendapatkan sokongan Ahli-ahli Parlimen Umno.

Mesyuarat CEC semalam juga menegaskan semula asas kerjasama parti-parti dalam Pakatan Rakyat, iaitu dasar Pakatan perlu mendapat persetujuan bersama ketiga-tiga parti PAS, DAP dan PKR.

“DAP konsisten dalam pendiriannya bahawa pelaksanaan hudud ke atas orang Islam, sama ada oleh PAS, Umno atau mana-mana parti di Kelantan atau Terengganu, adalah bertentangan dengan Perlembagaan, semangat Merdeka 1957 dan konteks masyarakat pelbagai kaum dan agama,” katanya.

Justeru, beliau meminta Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membaca dan memahami secara keseluruhan kenyataan bersama Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada tahun 2011, yang jelas menunjukkan pendirian DAP berhubung isu itu.

Pada 26 April lalu, Utusan Malaysia melaporkan kenyataan Abdul Hadi bahawa Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat tidak pernah membuat keputusan untuk menolak hukum hudud.

“Pimpinan DAP akan sentiasa berhubung dengan PAS bagi menekankan bahawa kami tidak pernah bersetuju dengan undang-undang itu yang diluluskan PAS di Kelantan dan Terengganu, sebelum atau selepas penubuhan Pakatan pada tahun 2008,” katanya lagi. – Roketkini.com