Berita

‘Superman’ lancarkan protes ‘Bantah dengan Bantal’ sempena Himpunan Bantah GST esok

KUALA LUMPUR, 30 APR: Ketua Publisiti Pilihanraya DAP Hew Kuan Yau mengajak orang ramai meneruskan bantahan terhadap sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan bermalam di Dataran Merdeka selama empat hari, bermula esok.

Beliau yang cukup dikenali di kalangan masyarakat Cina sebagai “Superman” mengajak orang ramai untuk terus menduduki Dataran Merdeka selepas tamat Himpunan Bantah GST yang akan diadakan esok.

Katanya, program “Bantah dengan Bantal” ini adalah susulan kepada himpunan itu dan bertujuan menghantar bantahan paling keras kepada kerajaan yang ingin melaksanakan GST bermula April 2015.

“Program ini dibuat bersempena Himpunan Bantah GST. Gerakan sivil tidak boleh lagi mengikut amalan biasa, iaitu berkumpul pada jam 12 tengah hari, perarakan bermula dua petang, mendengar ucapan pemimpin dan mengambil gambar, sebelum bersurai beberapa jam kemudian.

“Ia kurang memberikan tekanan politik kepada kerajaan Barisan Nasional (BN). Selagi Pakatan dan gerakan sivil tidak memberanikan diri dalam bantahan, kezaliman BN akan menjadi semakin melampau,” katanya.

Justeru, beliau mengajak orang ramai, khususnya peserta himpunan agar menyertainya untuk “bantah dengan bantal” serta mogok lapar bagi menghantar isyarat jelas kepada BN.

“Saya tidak setuju dengan sebarang tindakan ganas, tetapi bantahan perlu radikal dan jelas. Ini pasti dapat memberi tekanan politik kepada kerajaan.

“Saya juga akan mulakan mogok lapar bermula jam lapan pagi esok. ‘Puasa’ dan ‘bantal’ adalah senjata saya terhadap kezaliman BN. Saya tidak akan melawan sebarang tindakan ganas pihak berkuasa ke atas saya,” kata penceramah popular itu lagi.

Tokoh yang turut serta

Dalam pada itu beliau memaklumkan, tokoh-tokoh yang bakal menyertai bantahan itu antaranya adalah Ketua Pemuda DAP Kebangsaan Teo Kok Seong, aktivis masyarakat Hishamuddin Rais, Pengerusi Himpunan Hijau Wong Tack dan aktivis mahasiswa Adam Adli.

Beliau juga berharap orang ramai akan bersama-samanya di Dataran Merdeka, terutama pada hari cuti hujung minggu ini.

“Peserta tidak perlu berpuasa dalam jangka masa panjang, sebaliknya mengikut kemampuan. Mereka juga boleh datang hanya untuk bermalam, asalkan tekanan dapat diberikan kepada BN.

“Selagi kita konsisten melaksanakan hak yang termaktub dalam Perlembagaan, kaedah paling lembut pun akan mampu memberi tekanan kepada kerajaan autoritarian,” tegasnya lagi.

Orang ramai boleh melayari laman Facebook rasmi beliau, Hew Kuan Yau bagi maklumat lanjut berhubung bantahan ini. – Roketkini.com