Berita

‘Seah adalah rakan, ahli DAP yang setia’ – Guan Eng

KUALA LUMPUR, 2 MEI: DAP merakamkan ucapan takziah kepada isteri dan keluarga bekas Ahli Parlimen DAP Teluk Intan, mendiang Seah Leong Peng yang meninggal dunia semalam, akibat penyakit barah hempedu.

Seah, 48 tahun, meninggal dunia di Hospital Universiti pada jam 7.45 pagi semalam. Beliau hanya disahkan menghidap tahap akhir penyakit itu pada Februari lalu.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini menyifatkan Seah sebagai “seorang rakan dan ahli DAP yang setia”.

“Beliau tetap bersama parti di zaman paling gelap, sama ada ketika kekalahan teruk dalam pilihanraya atau ketika dakwaan dan penganiayaan terhadap pemimpin DAP oleh kerajaan kuku besi BN,” katanya.

Katanya lagi, bakat kepimpinan Seah terserlah ketika mendiang masih lagi seorang ahli biasa, apabila menjadi tulang belakang kepada kemenangan DAP dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Teluk Intan pada tahun 1997.

“Beliau adalah aktivis akar umbi yang berbakat, memainkan peranan penting dalam menyediakan jentera dan tenaga organisasi yang membolehkan DAP mencapai kemenangan mengejutkan dalam PRK Teluk Intan pada Mei 1997,” katanya.

PRK itu menyaksikan calon DAP M Kulasegaran (kini Naib Pengerusi Kebangsaan) mengalahkan calon BN dengan 2,916 undi, walhal kerusi parlimen itu dianggap sebagai kubu kuat BN ekoran kemenangan besar BN pada Pilihan Raya Umum 1555 dengan majoriti 13,968 undi.

Seah menyertai DAP pada 31 Mei 1995, selepas parti itu mengalami antara kekalahan terburuk dalam sejarah dalam PRU pada tahun 1995.

Pada PRU ke 13, beliau menjadi Ahli Parlimen Teluk Intan selepas mengalahkan calon BN, Mah Siew Kong dan bebas, K Moralingam dengan majoriti selesa, 7313 undi. Sebelum itu, beliau adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Bedamar sejak tahun 1999.

Guan Eng turut mengimbas kembali ketabahan Seah, selepas mendapat tahu beliau menderitai penyakit maut itu.

“Ketika kali terakhir saya bertemunya di Hospital Kuala Lumpur, beliau kelihatan positif dan penuh tekad untuk melawan ‘pertarungan’ terbaru itu.

“Kami tidak menjangka akan kehilangannya sebegini cepat. Pemergiannya adalah kehilangan kepada parti, rakyat dan negara,” katanya lagi.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu malah membatalkan percutian singkat bersama keluarga di Bangkok untuk memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang.

Acara pengebumian dijadualkan akan diadakan pada jam 10 pagi esok, di Krematorium Temoh, Tapah, Perak. – Roketkini.com