Berita

Ramkarpal puji keputusan MCA tidak bertanding di Bukit Gelugor

GEORGE TOWN, 11 MEI – Keengganan MCA untuk bertanding dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Bukit Gelugor mengundang senyum simpul ramai pihak, terutamanya calon DAP untuk PRK tersebut, Ramkarpal Singh.

Tidak sampai beberapa jam selepas Ram diumumkan sebagai calon DAP-Pakatan untuk PRK yang bakal berlangsung 25 Mei nanti, MCA mengumumkan bahawa ia tidak akan bertanding melawan anak mendiang Karpal Singh itu.

Namun calon DAP berjiwa besar itu menghormati keputusan parti komponen Barisan Nasional itu yang disifatkannya sebagai satu langkah yang betul.

“Keputusan MCA untuk tidak bertanding adalah satu keputusan yang benar-benar terarah.

“Ia adalah tanda penghormatan mereka kepada Karpal Singh dan wajar dipuji,” ujarnya ketika dihubungi.

Pun begitu katanya, beliau bersedia berhadapan dengan sesiapa sahaja yang akan diumumkan sebagai lawannya pada penamaan calon yang dijadual berlangsung esok.

Setiuasaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan ketika mengumumkan keputusan parti itu berkata bahawa ia dibuat hasil ‘kajian saintifik’ senario politik semasa.

MCA katanya telah menjalankan kajian terhadap 400 pengundi Bukit Gelugor, dan menyifatkan keputusan untuk tidak bertanding sebagai keputusan yang tepat.

Dalam PRU ke-13 tahun lalu, MCA telah meletakkan Teh Beng Yeam sebagai calonnya menentang tokoh negarawan DAP, Karpal Singh.

Mendiang Karpal menewaskan Teh dengan majoriti raksasa 41,778 undi; manakala Teh sekadar berjaya memperolehi 14,061 undi.

Menjelang penamaan calon esok pagi di Dewan Sri Pinang, belum ada tanda langsung setakat ini sama ada Barisan Nasional akan memberikan sebarang persaingan. – Roketkini.com