Berita

Tolak politik perkauman, perkukuh semangat kekitaan – Dyana Sofya

TELUK INTAN, 17 MEI: “Saya menentang politik perkauman dan memegang teguh pada prinsip semangat kekitaan,” kata calon DAP PRK Parlimen Teluk Intan Dyana Sofya Mohd Daud.

Dalam sidang media yang diadakan di pusat operasi pilihanraya PRK Teluk Intan selepas diumumkan sebagai calon hari ini, Dyana menegaskan bahawa rakyat Malaysia mempunyai persamaan yang mendalam berbanding perbezaan-perbezaan dangkal.

“Saya ingin supaya semua rakyat lebih memahami antara satu sama lain. Tembok perkauman mesti dirobohkan, barulah sebuah bangsa Malaysia boleh dilahirkan.

“Sebagai seorang Melayu beragama Islam, saya pastinya menjulang tinggi dua unsur ini. Tambahan pula, kedua-duanya mempunyai kedudukan istimewa seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan dipertahankan DAP,” jelasnya,

Tambah graduan undang-undang UiTM itu lagi, sebagai calon generasi muda beliau juga mendukung amalan politik baru.

Beliau mengemukakan teh tarik yang digemari oleh semua kaum di Malaysia sebagai perlambangan bagi unsur-unsur yang menyatukan masyarakat.

“Marilah bersama mencari ramuan teh tarik terbaik untuk kita, orang Malaysia,” ujarnya. -Roketkini.com