Berita

Kerajaan mesti demokratik, jangan halang rakyat berfikir dengan bahasa sendiri

SHAH ALAM, 18 MEI – Kerajaan Barisan Nasional diselar kerana menyempitkan ruang demokrasi apabila menyekat penggunaan Bahasa Melayu dalam penyebaran maklumat tertentu, termasuk dengan mengharamkan karya-karya besar yang diterjemah ke dalam bahasa itu.

Dalam menyampaikan tegurannya, Sasterawan Negara Profesor Muhammad Haji Salleh menggesa kerajaan agar bersikap lebih demokratik dalam soal hak penggunaan bahasa, apatah lagi dengan status Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Harus demokratik. Kita mesti ada hak. Kita bayar cukai, banyak pula tu. Belum lagi dikira cukai GST,” ujar beliau ketika menggulung ucapan di Forum Nusantara anjuran Institut Pulau Pinang di sini semalam.

Dalam forum bertajuk “Bahasa Jiwa Bangsa atau Bahasa Jiwa Kuasa” itu, Prof. Muhammad turut menyebut bahawa hanya bangsa yang boleh berfikir dengan bahasanya sendiri akan maju ke depan.

Kerajaan baru-baru ini mengharamkan beberapa karya yang diterjemahkan ke bahasa Melayu, namun karya asal dalam bahasa Inggeris tidak pula diharamkan.

Antaranya termasuklah buku Asal-usul Spesis, karya Charles Darwin, dan Sepintas Sejarah Islam tulisan Karen Armstrong.

Terjemahan kedua-dua buku ini diharamkan Kementerian Dalam Negeri. Menterinya, Ahmad Zahid Hamidi memberi alasan bahawa terjemahan Asal-usul Spesis tersebut bertentangan dengan ajaran Islam dan didapati bercanggah dengan Garis Panduan Penapisan Bahan-bahan Berunsur Islam serta pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Namun karya asal kedua-dua buku dalam bahasa Inggeris boleh didapati dengan mudah di kedai-kedai buku.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pulau Pinang Zairil Khir Johari dalam ucapan pembukaannya menyifatkan tindakan kerajaan itu sebagai tidak menghargai nikmat akal yang diberikan Tuhan.

“Nikmat akal tidak dihargai di Malaysia. Kerajaan menghalang berfikir dan membuat keputusan. Ia suka menentukan apa yang boleh dan tidak boleh dibaca,” ujarnya.

Siri Forum Nusantara kali ini turut membariskan penulis novel kontroversial Faisal Tehrani, kolumnis Malaysiakini Pauline Fan, dan Dr Mustafa Kamal Anuar, Felo Bahagian Nusantara institut tersebut. Forum dipengerusikan penasihat portal Roketkini Wan Hamidi Hamid. – Roketkini.com