Berita

Tolak politik wang, pilihlah secara bijak -Lim Guan Eng

TELUK INTAN, 25 MEI: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sekali lagi menyeru para pengundi supaya tidak terperdaya dengan politik wang yang dimainkan UMNO-BN untuk memenangi Parlimen Teluk Intan.

Beliau berkata, jika rakyat terperangkap dengan mainan politik kotor itu, maruah negara negara mungkin tergadai.

“DAP berasa sangat terharu dengan sokongan yang diberikan semua penduduk Teluk Intan. Kami juga sedar bahawa BN setakat masih mendahului dari segi sokongan.
“Namun amat kesal kerana mereka memilih cara kotor dengan menggunakan politik wang.
“Saya berharap pengundi tidak akan terpedaya  dengan amalan politik wang ini kerana wang tidak boleh membeli masa depan negara dan maruah Malaysia tidak boleh digadaikan begitu saja,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran treler Ubah, disini, tengah hari tadi.
Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut kesal dengan tindakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana mengugut dan menyogok politik wang kepada anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Sekolah Kebangsaan Kampung Selabak, semalam.
“Zahid semalam telah mengarahkan anggota RELA untuk mengundi calon BN dengan menawarkan pakaian seragam baru kepada mereka jika Mah Siew Keong menang.
“Apakah PRK ini hanya sekadar beerti menukar persalinan seragam?
“Kalau nak menang pun biarlah dengan saingan sihat dan mulia,” tegasnya.
Beliau juga menyatakan, DAP sedia menerima kekalahan jika BN berjaya menjalankan kempen secara bersih.
“Kami sedia terima kekalahan tapi dengan bermaruah. BN kalau menang dengan taktik kotor, kemenangan itu langsung tidak bermakna.
“Biarlah rakyat sendiri yang menentukan calon mana yang lebih sesuai berdasarkan kelayakan dan kepimpinan mereka, bukannya melalui cara politik kotor,” ujarnya. -Roketkini.com