Berita

PRK Teluk Intan: Puteri Demokrasi tewas

TELUK INTAN, 31 MEI: Selepas hampir dua minggu tempoh kempen penuh getir, calon muda DAP Dyana Sofya Mohd Daud akhirnya tewas kepada calon BN, Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dengan majoriti amat tipis sekadar 238 undi.

Keputusan rasmi diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam tadi di mana Dyana mendapat 19,919 undi, manakala Mah pula beroleh 20,157 undi.

Peratusan keluar mengundi jauh lebih rendah sekadar 66.5 peratus, berbanding Pilihanraya Umum (PRU) lalu, iaitu 80.4 peratus.

Pilihanraya ini diadakan berikutan kematian Ahli Parlimen sebelum ini Seah Leong Peng akibat kanser 1 Mei lalu.

Pada PRU lalu, mendiang Seah menewaskan Mah dengan majoriti 7,313 undi. – Roketkini.com