Berita

Peningkatan sokongan Melayu terhadap DAP isyarat baik runtuhkan politik perkauman

TELUK INTAN, 2 JUN – Walaupun tidak berjaya mengekalkan kerusi parlimen Teluk Intan, DAP melihat banyak hikmah yang tidak dijangka di saat peratusan keluar mengundi begitu rendah sekali.

Analisa oleh Strategis Pilihanraya DAP Dr Ong Kian Ming mendedahkan bahawa sokongan orang Melayu kepada DAP dan Pakatan Rakyat di Teluk Intan ternyata meningkat berbanding ketika pilihanraya umum Mei 2013.

“Berita baik di sebalik kekalahan ini ialah meningkatnya sokongan orang Melayu daripada 25% dalam PRU ke-13 kepada 28% dalam pilihanraya kecil kali ini,” kata beliau dalam satu kenyataan.

“Dalam 6 pusat mengundi majoriti Melayu, DAP mengalami peningkatan sokongan secara keseluruhan antara 0.7% hingga 3.4%,” jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Serdang.

Menurut Dr Ong, ini adalah isyarat yang sangat menggalakkan dalam keadaan DAP tidak menjangka sokongan orang Melayu akan bertambah.

Dr Ong turut melihat bahawa keterujaan yang diperlihatkan sepanjang tempoh kempen di kalangan orang muda Melayu belum pernah terjadi dalam sejarah.

“Seorang mahasiswa Malaysia di Oxford menulis tentang bagaimana anak muda Melayu meninggalkan UMNO, dan merujuk Dyana sebagai satu contoh. Marina Mahathir pula memuji Dyana atas kecerdikannya berfikir dan menulis,”

“Di peringkat akar umbi, Dyana menerima sambutan hebat dari kalangan anak muda ke mana sahaja beliau pergi. Ramai antara mereka yang belum lagi boleh mengundi, namun pastinya akan menjadi pengundi pada masa akan datang. Dyana berada di posisi yang baik untuk memenangi hati mereka,” ujar Dr Ong.

Meski tewas dalam pertarungan di Teluk Intan, perjuangan DAP untuk memecahkan tembok perkauman dan gender berjaya membina laluan baru.

“Saya percaya bahawa semakin ramai anak muda Melayu akan memilih DAP sebagai platform untuk bergiat dalam aktivisme politik,” tambahnya.

PRK Teluk Intan Sabtu lalu menyaksikan calon DAP, Dyana Sofya tewas kepada Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dengan majoriti tipis 238 undi.

Keputusan rasmi diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam tadi di mana Dyana mendapat 19,919 undi, manakala Mah pula beroleh 20,157 undi dalam keadaan peratusan keluar mengundi jauh lebih rendah sekadar 66.5 peratus, berbanding 80.4 peratus pada PRU ke-13.

PRK Teluk Intan diadakan berikutan kematian Ahli Parlimen sebelum ini, Seah Leong Peng akibat barah pada 1 Mei lalu. Mendiang Seah menewaskan Mah pada PRU ke-13 dengan majoriti 7,313 undi. – Roketkini.com