Berita

Kerangka perkauman mampu dipecahkan – Zairil

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Biarpun tewas dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, saingan hebat yang ditunjukkan Dyana Sofya Mohd Daud merupakan petanda bahawa satu permulaan politik baru negara akan muncul, kata Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari.

Beliau berkata, penglibatan Dyana sepanjang kempen yang begitu konsisten menentang politik perkauman jelas hampir membuahkan hasil jika tidak kerana pelbagai taktik kotor yang dimainkan BN.

“Biarpun kalah, saya melihat Teluk Intan sebagai satu permulaan untuk kita (DAP) dan juga Pakatan Rakyat ke arah politik baru, yang merentasi perkauman.

“Jika tidak kerana politik kotor seperti cara mereka berkempen, menyerang calon kami secara peribadi, menyalahguna kuasa kerajaan secara besar-besaran dan menabur janji-janji manis, kita sudah hampir berjaya untuk menang serta meruntuhkan tembok perkauman yang ada,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP itu juga yakin bahawa satu masa nanti, benteng perkauman mainan pemerintah tetap akan berjaya dipecahkan oleh generasi muda yang memiliki semangat penuh kecintaan pada negara.

“Politik perkauman adalah realiti negara kita, khususnya di kalangan warga berusia 40 tahun ke atas, kerana mereka merupakan generasi yang telah mengalami Darurat 13 Mei, pembentukan Malaysia dan pembuangan Singapura.

“Ini hampir mustahil untuk dilawan. Kerangka perkauman adalah jerat BN dan kuasa mereka bergantung kepada dasar itu, namun sebagai generasi muda saya yakin ia mampu dipecahkan. Masanya akan tiba,” ujarnya,.

Dalam pada itu, Zairil mengakui terdapat kekurangan dari segi strategi kempen sepanjang PRK Teluk Intan yang mana menjadi antara punca kekalahan.

Tapi katanya, sebagai sebuah parti yang komited dalam memperjuangkan kepentingan dan nasib rakyat, DAP akan berusaha memperbaiki segala kekurangan agar lanskap baru mampu dibuka untuk kemudian hari. -Roketkini.com