Berita

DAP Johor usul enakmen pelihara hutan bakau negeri

JOHOR BAHRU, 3 JUN: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Dr Boo Cheng Hau hari ini mengusulkan Enakmen Pemuliharaan Hutan Simpanan Kekal (HSK) Bakau dengan tujuan memelihara hutan bakau di negeri itu.

Ia mengajukan usul itu dalam ucapan menjunjung kasih titah DYMM Sultan Johor selepas perasmian mesyuarat DUN Johor 1 Jun lalu.

Menurut beliau, kelestarian pembangunan ekonomi perlu mengambil kira aspek pemuliharaan alam sekitar khususnya hutan paya memandangkan ia penyumbang kegiatan ekonomi utama iaitu perikanan.

“Maka, pemeliharaan hutan bakau dan paya laut mesti menjadi salah satu usaha utama bagi pembangunan ekonomi yang lestari di Johor,” katanya lagi.

Dalam ucapannya itu, Dr Boo turut memetik laporan pakar yang menunjukkan setiap hektar hutan bakau mampu menjadi pusat perlindungan ikan laut yang memberikan pulangan RM700,000 setahun.

Terdapat 12,756 hektar hutan paya di sepanjang Selat Melaka. Namun, hanya 1,884 hektar paya bakau di Pulau Kukup termasuk dalam Taman Negara Johor dan 61.3 hektar paya bakau di Benut (15 peratus daripada keseluruhan kawasan) diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal.

Selain itu, masalah ini turut berlaku di Pontian, Tanjung Piai, Pulai, Gelang Patah serta kawasan lain di pesisir pantai Johor.

Kata Adun Skudai itu lagi, kelemahan pemeliharaan menyebabkan 95 peratus (2649.2 hektar) hutan paya bakau di Benut telah musnah, dan mengakibatkan kehilangan hasil laut bernilai RM1.85 bilion setahun.

“Kini hasil perikanan turun 14 peratus dengan kerugian nilai sebanyak RM270 juta. Eksport ikan negeri pula menurun sehingga 18 peratus (RM143 juta),” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan akan mempertimbangkan usul enakmen itu, selain membentangkan Rancangan Pengurusan Hutan Paya Laut 2011 – 2020 kepada DUN. – Roketkini.com