Berita

Bagaimana jika Najib dituduh ingin hapuskan kaum Cina dan India? – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mempersoalkan sikap pihak berkuasa yang berdiam diri dan seolah-olah memberi ‘lesen penuh’ kepada Ikatan Muslim Malaysia (Isma) untuk membuat fitnah dan tohmahan perkauman secara terbuka terhadap dirinya.

Beliau berkata, reaksi pihak berkuasa pasti berbeza jika yang menerima serangan jahat seumpama itu adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Apakah respons pihak berkuasa jika ada pertubuhan bukan-Melayu yang bersikap seperti Isma dengan terbuka menyerang Najib sebagai anti-Cina dan anti-India, serta menuduhnya mahu menghapuskan orang Cina dan India di Malaysia?

“Adakah polis dan Peguam Negara akan berdiam diri dan membenarkan pembohongan, kepalsuan dan fitnah dibuat secara terbuka terhadap Najib? Jika tidak, mengapa mereka tidak berbuat apa-apa terhadap racauan fitnah dan adu-domba yang dibuat Isma?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Isma melancarkan serangan baru terhadap tokoh politik veteran itu, kali ini dengan menyatakan beliau bercita-cita menghapuskan orang Melayu serta telah memusuhi Melayu sejak tahun 60-an.

Tuduhan itu dibuat dua hari selepas NGO ekstrem itu menyifatkan DAP sebagai ‘barah’ yang perlu disingkirkan daripada politik Malaysia.

Bagaimanapun, ini bukanlah kali pertama tuduhan seperti itu dihalakan kepada Kit Siang yang sepanjang kerjaya politiknya difitnah sebagai dalang tragedi 13 Mei 1969.

Mengulas serangan terbaru itu, beliau memberikan penghargaan kepada sokongan yang ditunjukkan, terutama oleh pengguna internet.

“Ada ratusan reaksi di internet mengenai tuduhan liar Isma dan menasihati saya agar jangan pedulikan Isma dan ada pula yang menggesa saya menyaman mereka. Saya berterima kasih terhadap sokongan ini.

“Maklumbalas di Facebook, Twitter dan laman berita, serta kenyataan pemimpin DAP, antaranya Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari dan Ketua Pemuda DAP Bukit Bendera Haris Zuan adalah lebih daripada mencukupi sebagai respons kepada Isma,” katanya lagi.

Beliau turut memaklumkan akan menunggu nasihat peguam berhubung kemungkinan tindakan undang-undang terhadap NGO itu. -Roketkini.com