Sastera

Menanti hujan bulan Jun

oleh Aliff Fikri

Sedang aku sibuk mengelamun memikirkan kebiadapan politik semasa, petang yang dari tadi aku nikmati tiba-tiba runtuh dan roboh umpama bangunan Knickerbocker Theatre di Amerika Syarikat, oleh pertanyaan kau yang amat menjengkelkan iaitu:

“Apa akan terjadi pada kau 10 tahun lagi,” tanyanya secara tiba-tiba.

Nafasku tersekat sebaik mendengar soalan itu. Sekali lagi aku terkenang Knickerbocker Theatre yang roboh pada 28 Januari 1922 akibat serangan ribut salji ketika orang ramai sedang asyik menonton filem ‘silent comedy’ bertajuk Get-Rich-Quick Wallingford arahan Franz Borzage.

Akibat dari kejadian yang dikatakan sebagai bencana terburuk dalam sejarah Washington itu, arkiteknya Reginald Wycliffe Geare memilih untuk membunuh diri kerana tidak dapat menerima kenyataan, walaupun dia langsung tidak bersalah.

Berbalik pada soalan kau tadi, fikiranku kini sesak. Apa maksud pertanyaan ini? Mengapa selalu saja kau bertanya soalan aneh yang kadang tidak ketahuan dari mana ia muncul. Misalnya dulu kau pernah bertanya siapa pencipta karipap sardin, mengapa cuaca panas terik warna langitnya terlalu terang, siapa sebenarnya Godot dalam tulisan Samuel Beckett dan apakah kesudahan jelas dalam filem ‘Soshite chichi ni naru’ arahan Kore-Eda Hirokazu.

Soalan-soalan sukar sebegini akhirnya terpaksa aku hindari dengan pura-pura sakit perut serta cepat ke tandas.

“Tak tahu,” jawabku, ringkas dan cepat.

Bukankah kau tahu bahawa aku amat benci merencana masa depan. Padaku kemahuan atau keinginan merencana masa depan ini adalah kerja Tuhan dan aku tidak mahu merebut jawatan Tuhan. Pekerjaan Tuhan yang tidak bertempat sangat melelahkan.

Kau terus diam. Merajuk, tak puas dengan jawapan aku. Memang kau tak puas. Aku sendiri tak pernah puas dan itu hanya sekadar jawapan yang lahir dari perasaan malas berdebat panjang mengenai hal yang aku tidak tahu apa tujuannya. Masa depan dan ingatan masa lalu, dua perkara yang tidak mahu aku fikirkan.

“Seriuslah sikit, cepat fikirkan,” mendesak lagi.

Aku bingung. Sejak bila manusia perlu tahu apa akan terjadi dimasa akan datang. Kalau aku jawap dimasa depan aku akan menjadi seorang nabi, tentu kau ingat aku main-main. Pada aku berencana atau merancang sesuatu amat berisiko dan dekat pada kegagalan. Apabila gagal, timbullah kecewa. Setelah itu terpaksa menyakinkan diri dengan penegasan-penegasan tak masuk akal.

Kemudian merungut bahawa hidup ini tidak adil, mengapa ini terjadi dan berderet lagi keluhan yang mungkin kau boleh tambah sendiri.

“Ok lah, aku jawap. Aku jadi bomoh, bomoh hujan.”

“Kenapa bomoh hujan?”

“Kerana mendung itu menyenangkan dan aku dapat berkuasa ke atas hal-hal dibenci dalam sebuah ‘perjalanan’.”

“Perjalanan?”

Bersembang dengan kau sememangnya memerlukan stamina lebih. Mungkin aku perlu belajar dari sang proklamator, Presiden pertama Republik Indonesia, Soekarno tentang bagaimana untuk menyeimbangkan kesemua ideologi, baru dapat menjawapnya.

Kau tidak puas dengan jawapan semborono yang berhujung pada perkataan ‘ya’ dan ‘tidak’. Aku sendiri pelik mengapa kau hanya bekerja sebagai pustakawan, bukannya detektif atau penyiasat?

“Bukankah semua pejalan bergantung pada cuaca untuk melakukan perjalanan.”

“Jadi?”

“Kalau hujan mereka semua akan diam di rumah. Titis hujan dan kebasahan pada mereka boleh membunuh.”

“Uishh, payahnya. Jangan guna falsafah, jawaplah dengan ringkas. Aku tak faham,” kata kau.

Kini aku bertambah bingung, bukankah kau tadi berperanan sebagai seorang penyiasat dan mahu semua serbi dijelaskan dengan terperinci.

“Pertanyaan kau sebenarnya yang rumit, tukar soalan lainlah.”

“Mana ada, kau yang malas berfikir,” eh aku pulak, kataku dalam hati seraya mendengar tuduhan itu.

Tapi, ini serius. seserius nyanyian teman dari Bali yang bergabung di dalam sebuah band folk dengan nama Nosstress bahawa:

“Melihat semua mati di hadapan ku, dan yang tersisa cuma debu, ini serius. Tentang kenyataan bahwa semuanya tak seindah dulu,” petikan lagu Tanam Saja dari album Perspektif Bodoh.

Lupakan Nosstress dan romantisme aku tentang Bali mahupun Indonesia. Ya serius, aku benci melihat kau memohon. Memohon dengan mata tipis dan redup yang liar itu.

“Ok, andaikan hujan adalah sebuah perjudian. Mendung dan perjalanan jauh adalah gerak kerja menyelesaikan persoalan matematik yang mempengaruhi perjudian. Para pejalan tentunya berharap hujan tidak turun.”

“Aduhhhh, masih rumit. Permudahkanlah. Jelaskan secara sederhana macam si Basir selalu buat.”

Celaka. Nama itu, Basir. Lelaki yang selalu cuba memikatmu dengan wajah ‘innocent’ dan perwatakannya yang konon ‘nerd’. Jelas sekarang kau masih berhubungan dengan Basir. Aku jadi makin malas untuk menjelaskan apa-apa.

“Apasal diam?”

Sial! Tatapan mata itu lagi. Aku langsung teringat pada Effy Stonem lakonan Kaya Scodelario dalam siri TV United Kingdom, Skins. Ahh, tajam matanya meluluhkan hati.

“Andaikan kau baru habis kelas, lapar dan tak bawa duit. Satunya-satunya penyelamat ketika itu adalah balik rumah dan makan. Sedang kau berjalan membawa berbakul-bakul nota kuliah, awan hitam muncul. Mendung pekat. Petir dan kilat. Apa yang kau harapkan?”

“Mudah, tunggu seseorang untuk jemput aku pulang.”

“Aishhh, kalau kau seorang diri?”

“Jangan banyak soal, jelaskan saja maksudnya.”

“Apa yang diharapkan dari sebuah perjalanan panjang tanpa perlindungan dengan kemungkinan hujan turun lebat?”

“Tentu aku berharap hujan tidak turun. Ehh, tapi apa hubungannya dengan bomoh hujan tadi?”

“Bomoh hujan memiliki kuasa untuk menentukan hujan turun atau tidak.”

“Dah macam Tuhan!! Itu kerja Tuhan!.

“Aduhhh, apa bezanya dengan soalan kau mengenai apa akan terjadi padaku 10 tahun akan datang?”

Hening datang. Senyap, bunyi-bunyian burung semakin hilang. Sementara di jalanan masih seperti tadi. Malah bertambah meriah.

“Kalau aku, 10 tahun lagi aku pasti telah memiliki 5 orang anak yang comel belaka,” katamu.

Anak? Mengurus seekor kucing pun gagal, inikan pula anak.

“Anak itu manusia, bukan seekor kucing yang bila mati boleh kau ganti dengan hamster.”

“Ahhh. Biarlah. 10 tahun lagi akan tentu sudah jauh lebih bijak dan pandai.”

Aku terdiam. Kelu. Lagu Jack Johnson berjudul Sitting, Waiting, Wishing kedengaran dari rumah sebelah.

“Tapi, kau pernah tunggu hujan?”

“Tidak. Aku selalu melawan hujan. Basah itu urusan lain. It can’t rains forever. Aku tak suka menunggu hujan dan basah perlu dilawan untuk sampai ke tujuan.”

“Tapi tak semua orang seperti kau. Cubalah tunggu hujan, kau akan tahu, kadang kita perlu menunggu lebih lama untuk merasai sebuah keindahan.”

“Tak pernah ada kesenangan dalam menunggu. Kelak di akhirat seksaan manusia bukan neraka mahupun panasnya apinya, tapi menunggu sebuah kepastian.”

Hening menjengah lagi. Senja berlalu. Lampu jalanan kota mula hidup. Menu-menu autentik segala macam jenis masakan bertaburan dan derap langkah warga kota makin kencang. -Roketkini.com