Berita

Wee Ka Siong akui MCA amal budaya politik sabotaj -Ong Kian Ming

KUALA LUMPUR, 8 JUN: Serangan tidak berasas Timbalan Presiden MCA Dr Wee Ka Siong telah membuka pekung bahawa MCA sememangnya tidak mengamalkan politik bersih tapi politik ‘sabotaj’ antara satu sama lain, kata Strategis Pilihanraya DAP Dr Ong Kian Ming.

Menurut Kian Ming, kenyataan Ka Siong di beberapa portal 6 Jun lalu telah mengesahkan bahawa sejak 40 tahun lalu budaya kotor itu memang sudah menjadi kebiasaan dalam parti komponen BN itu.

“Ka Siong dilihat cuba mengangkat diri sendiri apabila mengatakan kehadirannya di Teluk Intan tempoh hari adalah untuk memastikan tidak ada sabotaj dalaman antara MCA dan Gerakan.

“Kata Ka Siong, buat pertama kali semenjak Gerakan ambil alih kerusi itu dari MCA pada tahun 1974, tidak ada sebarang sabotaj berlaku. Apa yang dibanggakan beliau ini jelas satu lawak jenaka dan pengakuan terbuka bahawa mereka pernah mengamalkan budaya itu.

“Ini menimbulkan pertanyaan sudah berapa banyak kerusi Gerakan telah disabotaj MCA sejak 1974?,” soalnya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Serdang itu juga mengecam dakwaan tidak berasas Ka Siong bahawa DAP dan Pakatan Rakyat cuba mewujudkan perbalahan kaum sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan baru-baru ini.

Beliau berkata, serangan tidak berasaskan fakta itu bukan saja memalukan tapi jelas menonjolkan kegagalan MCA dan BN sendiri.

“Saya tidak memahami bagaimana DAP boleh melakukan tindakan seperti mana didakwa Ka Siong dalam mana-mana kempen kami di Teluk Intan, kecuali beliau merasakan dengan meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti bukan Melayu boleh menyebabkan permusuhan kaum.

“Daripada menyerang DAP, Ka Siong seharusnya menghargai faedah yang diperoleh sebagai seorang wakil minoriti kerana Parlimennya sendiri adalah kawasan majoriti Melayu, iaitu sebanyak 56 peratus,” katanya.

Kian Ming turut mengkritik dakwaan Ahli Parlimen BN Ayer Hitam itu yang menyatakan DAP terlalu angkuh di kawasan majoriti Cina sehingga sanggup menyatakan jika ‘letak kambing pun boleh menang’,yang menunjukkan beliau tidak menghormati masyarakat Cina. -Roketkini.com