Berita

Peratus undi Melayu, pengundi muda sokong DAP di Teluk Intan meningkat berbanding BN

KUALA LUMPUR, 9 JUN: Pakar strategi pilihanraya DAP Dr Ong Kian Ming menyangkal dakwaan Timbalan Presiden MCA Dr Wee Ka Siong bahawa DAP gagal mendapat sokongan Melayu dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Teluk Intan kerana kebijaksanaan Umno-BN.

Menurut beliau, jika UMNO begitu hebat menggerakkan pengundi Melayu Teluk Intan, peratus keluar mengundi di kawasan majoriti Melayu tidak akan turun sebanyak 14 peratus.

“Penurunan itu adalah sama dengan peratusan keluar mengundi di kawasan Cina, ujar Kian Ming.

Berkenaan sokongan pengundi Melayu terhadap DAP di kawasan Melayu yang dikatakan lemah, beliau menjelaskan bahawa parti itu telah memenangi peratusan undi lebih besar di tujuh daripada sepuluh kawasan majoriti Melayu.

“Ini adalah kerjasama dan sokongan kuat dari PAS yang telah berjaya meningkatkan sokongan Melayu dari 25 peratus kepada 28 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Serdang itu turut menyelar kenyataan bohong Ka Siong yang juga menyatakan DAP tidak mendapat sokongan pengundi muda.

“Beliau memberi contoh di Kampung Selabak, BN menerima 266 undi berbanding hanya 74 untuk DAP di saluran mengundi yang paling muda iaitu Saluran 4. Ini bermakna kami hanya memenangi 21.8 peratus.

“Tetapi Ka Siong tidak menyebut bahawa DAP memenangi 18.9 peratus undi di saluran yang sama pada PRU 13. Jadi sebenarnya jumlah sokongan pengundi muda telah meningkat sebanyak 2.9 peratus,” jelasnya.

Kian Ming menyatakan walaupun kalah, berdasarkan perangkaan peningkatan jumlah pengundi muda yang telah memberi sokongan kepada DAP, terutama daripada kalangan Melayu, BN jelas kian terhimpit dan berada dalam kebimbangan untuk menghadapi PRU akan datang.

“BN dan Ka Siong perlu menerima hakikat bahawa sokongan kepada DAP di saluran pengundi muda adalah lebih tinggi daripada mereka.

“Sebagai contoh, di Kampung Bahagia yang terdiri dari 95.5 peratus Melayu, di Saluran 7, yang paling muda, 48.8 undi menjadi milik DAP. Peningkatan ini adalah sebanyak 4.5 peratus berbanding PRU 13.

“Di Batak Rabit, 61.3 peratus Melayu, 50.1 peratus di Saluran 5, saluran paling muda, mengundi DAP,” ujarnya. – Roketkini.com