Berita

DAP gesa Selangor gantung semua kelulusan KIDEX

KUALA LUMPUR, 11 JUN: DAP menggesa Selangor untuk menggantung semua kelulusan berkaitan projek kontroversi Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) berikutan tindakan kerajaan Persekutuan yang tidak mahu mendedahkan pulangan pelaburannya kepada orang ramai.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua mempersoalkan keengganan Menteri Kerja Raya Datuk Fadhillah Yusof itu yang jelas akan memberikan beban berat kepada pengguna jalanraya.

Menurutnya, jawapan Fadhillah bahawa kadar tol masih ‘belum ditetapkan’ juga tidak boleh diterima kerana jelas membelakangi rakyat, walhal menjadi amalan biasa bagi kerajaan untuk menerangkan segala butiran sebelum perjanjian konsesi ditandatangani.

Tegasnya, semua perjanjian konsesi lebuhraya bertol swasta sebelum ini ditandatangani dengan kadar sudah ditetapkan, termasuk juga rumus bagi kenaikan kadar tol berasaskan jumlah trafik.

“Saya telah berpeluang meneliti semua perjanjian konsesi penswastaan lebuh raya bertol pada Januari 2009, ketika kerajaan memutuskan untuk menggantung kerahsiaan kandungan perjanjian-perjanjian itu selama tiga minggu.

“Semua perjanjian dari Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) ke Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Jambatan Pulau Pinang, telah ditandatangani dengan kadar tol yang ditetapkan, bahkan rumus peningkatan tol berdasarkan kadar lalu lintas juga telah ditetapkan.

“Oleh itu, saya yakin bahawa kerajaan Persekutuan telah berbohong apabila mendakwa tidak ada kadar tol telah ditetapkan dalam perjanjian konsesi,” katanya mengulas keengganan Fadhillah mengesahkan kadar tol dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat kepada Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo, semalam.

Setiausaha Publisiti DAP itu menegaskan, tindakan Fadhillah merahsiakan maklumat kini juga menimbulkan tanda tanya sama ada beliau begitu dungu sehingga bertindak menandatangani perjanjian bertempoh 48 tahun tanpa mengetahui berapa kadar tol yang akan dikenakan dan dikutip atau beliau telah berbohong kepada Parlimen.

Jelas Tony, keengganan kerajaan untuk mendedahkan kadar tol menunjukkan bahawa ia bertindak secara melulu dalam meluluskan projek lebuhraya bernilai RM2.42 bilion itu tanpa memikirkan beban yang akan ditanggung para pengguna lebuhraya.

“Ini boleh diibaratkan seperti membuat perjanjian untuk membeli rumah daripada pemaju di majlis pelancaran projek walaupun harganya hanya akan diputuskan 3 tahun kemudian, iaitu selepas projek siap sepenuhnya.

“Atas alasan ini, iaitu keengganan Kerajaan Persekutuan bersikap telus tentang anggaran pulangan pelaburan serta beban yang bakal ditanggung oleh pengguna, DAP memohon kerajaan Selangor supaya menggantung semua kelulusan dan proses membuat keputusan berkaitan KIDEX,” tegasnya. -Roketkini.com