Berita

‘Mungkin Zahid yang ugut gangster berpihak kepada BN di Teluk Intan’

KUALA LUMPUR, 10 JUN: “Karut dan merepek,” kata Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi hari ini, berhubung kemenangan BN pada Pilihanraya Kecil (PRK) Teluk Intan.

Menurut laporan The Malaysian Insider, Zahid mendakwa BN menang pada PRK itu selepas beliau memberi amaran secara peribadi kepada ahli-ahli kongsi gelap di sana agar tidak menakutkan pengundi supaya memilih Pakatan Rakyat.

“Saya beri amaran kepada kongsi gelap kerana saya kenal muka setiap seorang itu, apa yang dilakukan. Disebabkan amaran itu mereka tidak campur tangan langsung daripada segi mengugut, mengarah, dan memberi amaran kepada pengundi di Teluk Intan,” katanya seperti yang dipetik portal berita tersebut.

Tony Pua yang juga Pengarah Pilihanraya DAP bagi PRK itu menyangkal kenyataan tersebut yang seolah-olah memberi gambaran DAP dan Pakatan Rakyat mempunyai hubungan dengan kongsi gelap.

“Kenyataan beliau tidak ada asas. Kalau ada pun pengaruh gangster (ke atas keputusan PRK), mungkin BN yang ada hubungan dengan mereka. DAP tidak ada sebarang pengaruh atau hubungan dengan gangster,” katanya kepada Roketkini.

Menurut Tony lagi, memandangkan Zahid secara langsung mengaku mengenali kumpulan kongsi gelap di sana, kemungkinan beliaulah yang mengugut kumpulan itu agar menyokong BN.

“Zahid kata beliau kenal dengan gangster-gangster itu, jadi mungkin beliau sebenarnya yang buat ugutan agar mereka menyebelahi BN,” katanya lagi.

Ketika berucap dalam satu acara di Melaka pada Oktober tahun lalu, Zahid menyebut ahli-ahli kumpulan samseng ‘Tiga Line’ sebagai “kawan-kawan” dan memberitahu mereka agar “menjalankan apa yang patut.”

Dalam PRK Teluk Intan 31 Mei lalu, calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud kalah tipis dengan calon BN, Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dengan perbezaan 238 undi. – Roketkini.com