Berita

Biarkan KPN bertindak sewenangnya, Zahid perlu letak jawatan

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi seharusnya meletak jawatan kerana membiarkan sahaja Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bertindak sewenang-wenangnya, termasuk mengingkari perintah mahkamah, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

“KPN telah mencetuskan kemarahan apabila menyatakan polis akan bersikap ‘neutral’ jika ada keputusan bercanggah antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil,” katanya merujuk kes hak penjagaan antara M Indira Gandhi dan bekas suami K Pathmanaban (nama Islam, Mohd Ridzuan Abdullah) dan antara S Deepa dan N Viran (nama Islam, Izwan Abdullah).

Pada 29 Oktober 2009, Mahkamah Syariah menyerahkan hak penjagaan tiga anaknya – Tevi Darsiny, Karan Dinesh dan Prasana Diksa – kepada Mohd Ridzuan. Namun pada Mac 11 2010, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wan Afrah Wan Ibrahim mengarahkan hak penjagaan diberikan kepada Indira.

Pada 1 April 2011, Mahkamah Tinggi juga menolak permohonan Mohd Ridzuan untuk menangguhkan perintah hak penjagaan anak bongsunya yang dibuat tahun sebelumnya.

Bagi kes kedua, Mahkamah Rayuan pada 27 Mei lalu menolak permohonan Izwan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban yang menyerahkan hak penjagaan kepada Deepa.

Guan Eng berkata, keputusan Abdul Khalid untuk mengingkari perintah mahkamah sivil itu ‘berbahaya’ dan bertentangan dengan Perlembagaan serta boleh memicu tindakan terpilih pihak polis pada masa akan datang.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara, polis secara terbuka engkar arahan mahkamah sivil. Ini bukan sahaja boleh menyebabkan kekacauan, tetapi mencetuskan tindakan terpilih polis untuk kes-kes akan datang.

“Selepas ini, apa lagi yang dapat menyekat polis daripada bertindak secara terpilih?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

“Polis diberi kuasa untuk menjalankan dan menguatkuasakan arahan mahkamah sivil. Jika Khalid gagal untuk memahami tugas asas ini, beliau tidak layak menjadi KPN dan perlu meletak jawatan segera. Begitu juga dengan Ahmad Zahid (yang membiarkannya),” katanya lagi.

Selain itu, Setiausaha Agung DAP itu turut menyenaraikan tindakan terpilih Abdul Khalid, seperti membiarkan kematian dalam tahanan serta aksi ganas samseng pro-BN.

Kematian tahanan SN Agin Raj di Hospital Seberang Jaya 7 Jun lalu, menjadikannya mangsa ketujuh dalam masa enam bulan di Pulau Pinang.

“Menyalahkan keadaan kesihatan mangsa bukan sahaja cubaan lari daripada tanggungjawab, tetapi juga menunjukkan kes seperti itu akan terus berlaku. Begitu juga dengan tiada tindakan tegas terhadap gangsterisme Umno ke atas Pakatan. Ahmad Zahid perlu bertanggungjawab penuh kerana mempolitikkan polis,” katanya lagi. – Roketkini.com