Berita

Kelewatan mengemukakan laporan RCI pendatang haram tanda kerajaan tidak serius tangani masalah Sabah

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Ahli Parlimen DAP Sandakan Stephen Wong Tien Fatt kesal dengan tindakan kerajaan yang sehingga kini masih gagal mengemukakan laporan Suruhanjaya Siasata Diraja (RCI) berhubung masalah pendatang tanpa izin di Sabah.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim mendakwa tidak ada isu kelewatan kerana laporan itu telah siap dan kerajaan akan mengemukakannya serta mengambil tindakan terhadap pesalah.

Stephen mempersoalkan jawapan Shahidan itu kerana menurutnya laporan RCI dikatakan sudah selesai sejak enam bulan lalu, tapi sehingga kini, beliau masih belum dapat mengetahui dan melihat laporan tersebut.

“Di mana keikhlasan kerajaan dalam menyelesaikan isu pendatang tanpa izin di Sabah?

“Kerajaan perlu sedar masalah pendatang haram ini merupakan punca kepada berlakunya banyak isu seperti keselamatan dan jenayah di negeri ini, seperti yang terjadi di Semporna serta Lahad Datu.

“Jadi, amat penting untuk laporan RCI dikemukakan sebagai resolusi menanganinya,” katanya dalam sidang media bersama Ahli Parlimen Kota Kinabalu Jimmy Wong dan Ahli Parlimen Kampar Dr Ko Chung Sen, tengahari tadi.

Timbalan Pengerusi DAP Sabah itu berkata, dari segi pengendalian yang ditunjukkan BN, mereka juga seolah-olah tidak pernah memandang serius isu ini.

“Apakah keselamatan rakyat Sabah akan terus menjadi mainan politik BN?

“Perdana Menteri Najib Razak sebelum ini telah berjanji bahawa RCI akan diselesaikan sebelum PRU 13. Sekarang PRU sudah lama berakhir, mana laporan RCI?

“Adakah ia akan menjadi seperti kes VK Lingam yang berlalu ‘under the carpet’,” ujarnya

Tambah beliau, rakyat Sabah sudah muak dan tidak dapat menunggu lebih lama lagi, sebab itu kerajaan tiada pilihan selain mengemukakan laporan RCI segera.

“Jangan mempermainkan keselamatan dan sentimen rakyat Sabah!” tegasnya. -Roketkini.com