Berita

Setahun selepas PRU-13, BN bina tak sampai 4,000 rumah mampu milik

KUALA LUMPUR, 17 JUN: Selepas setahun pilihanraya umum (PRU) ke-13, kerajaan hanya mampu membina 3,898 rumah mampu milik berbanding 500,000 yang dicanang di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRI1MA) dalam tempoh 5 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dalam jawapan bertulis kepada ahli parlimen Kulai Teo Nie Ching memaklumkan, tiga projek melibatkan pembinaan rumah mampu milik terletak di Kuala Lumpur (2,074 unit), Kedah (1,349 unit) dan Johor (475 unit)

“Berdasarkan jawapan Shahidan, saya tertanya-tanya mampukah (PM) Najib Razak memenuhi janjinya membina 500,000 rumah PR1MA dalam masa lima tahun?” kata Nie Ching dalam satu kenyataan.

“Sabtu lalu, beliau (Najib) umumkan 5,000 unit rumah PR1MA akan dibina di Teluk Intan. Saya ingin ingatkan Najib Teluk Intan bukan satu-satunya tempat yang memerlukan rumah mampu milik.

“Jika kemenangan (BN) di Teluk Intan membawa 5,000 unit rumah mengapa Johor tidak diberikan? Sedangkan BN menang 21 daripada 26 kerusi Parlimen di situ.

“Sepatutnya paling kurang 100,000 unit rumah PR1MA perlu dibina,” ujarnya.

Kata Nie Ching, dengan hanya 475 unit rumah PR1MA dibina di Johor jelas menunjukkan BN tidak menghargai sokongan yang diberikan.

“Walhal Johor dikenali sebagai ‘fixed-deposit’ mereka. Ternyata sokongan kuat orang Johor terhadap BN dipandang enteng,” ujar Nie Ching.

Dalam manifesto PRU ke-13, BN berjanji membina 500,000 rumah mampu milik di seluruh negara.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP itu menegaskan bahawa walaupun perancangan, pembangunan, dan pembinaan projek perumahan bukan sesuatu yang boleh dilakukan sekelip mata, namun, kemajuan projek PR1MA amat mengecewakan – Roketkini.com