Rencana

Dadah dan HIV di kalangan nelayan, kegagalan siapa?

Pendedahan yang dibuat oleh Bank Dunia baru-baru ini berkenaan dengan masalah HIV dan penyalahgunaan dadah di kalangan nelayan begitu membimbangkan.

Pendedahan ini dibuat oleh Dr Sutayut Osornprasop, pakar pembangunan manusia di East Asia and the Pacific Region’s Human Development Unit, sebuah unit di bawah Bank Dunia.

Dinamakan sebagai Project Waves dan dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Centre of Excellence for Research in AIDS dari Universiti Malaya pada tahun 2008, kajian awal ini melihat masalah penggunaan dadah dan risiko jangkitan HIV di kalangan nelayan di bandar pelabuhan di sebelah Pantai Timur semenanjung Malaysia, melibatkan sekitar 406 orang nelayan.

Kajian yang siap pada tahun 2012 itu mengejutkan kita dan membuka banyak persoalan baru.

Antaranya, lebih seorang daripada setiap 3 orang nelayan menggunakan dadah secara suntikan dan lebih seorang daripada 10 orang nelayan menghidap HIV. Jumlah ini 20 kali lebih tinggi daripada purata pengidap HIV di Malaysia.

Sejumlah 71 peratus nelayan menggunakan dadah ketika bekerja di tengah laut; 72 peratus daripadanya mengatakan bahawa juragan bot mengetahui mereka mengambil dadah; dan 63 peratus nelayan menggunakan dadah bersama-sama dengan rakan awak-awak.

Berdasarkan data Bank Dunia itu, tahap jangkitan HIV di kalangan nelayan adalah sama dengan pekerja seks di Kuala Lumpur.

Persoalan menarik yang muncul daripada dapatan kajian ini adalah, apakah penggunaan dadah suatu hal yang lumrah atau bukan lumrah di kalangan nelayan? Dan mengapa nelayan memerlukan suntikan dadah?

Rata-rata kita akan meletakkan kesalahan di bahu nelayan itu sendiri dan juga kerajaan. Kemudian, drama dan lakonan salah-menyalah ini akan hingar-bingar di dada media dan akhirnya terpadam apabila kerajaan memberikan mengambil tindakan undang-undang atau memberi bantuan hidup kepada nelayan sama ada menerusi Jabatan Perikanan, Kesihatan, LKIM dan sebagainya. Namun pada hakikatnya, masalah ini jauh daripada penyelesaian.

Bagi saya, persoalan-persoalan ini sebenarnya membawa kepada persoalan lain yang lebih mendasar.

Secara umumnya, pekerjaan sebagai nelayan adalah pekerjaan yang amat kompleks, terutama dari segi keselamatan dan juga pendapatan. Kedua-dua unsur ini mempengaruhi kehidupan sosial dan mentaliti golongan nelayan.

Memang ada inisiatif perlindungan insuran, subsidi diesel/petrol, bantuan sara hidup, skim pinjaman, skim bantuan perumahan, bot, peralatan perikanan, kurusus, pendidikan, bencana alam, dan sebagainya yang dijalankan oleh kementerian berkenaan dan juga agensi seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Namun, adakah semua ini telah memenuhi peranan dan tanggungjawab kerajaan?

Banyak nelayan yang saya temui sebenarnya tidaklah begitu gembira dengan segala bantuan ini. Bagi mereka, dengan segala pemberian ini, mereka dianggap sebagai golongan yang terlalu mengharapkan bantuan kerajaan.

Nelayan merasa mereka digambarkan sebagai kumpulan yang tidak tahu berdikari, bergantung pada bantuan dan suka meminta-minta.

Ini memberi indikasi bahawa nelayan ada keinginan untuk dilihat sebagai kumpulan yang berperanan sebagai penyumbang kepada ekonomi negara setanding dengan sektor-sektor yang lain.

Di Malaysia, buruh seperti nelayan ini adalah kumpulan yang berada di luar lingkungan buruh formal seperti pekerja kilang, pekerja mahir dan separuh mahir, baik dalam sektor swasta mahupun awam.

Jumlah keseluruhan nelayan di Malaysia lebih dari 90 ribu. Anggaran nilai pengeluaran industri perikanan yang direkodkan pada 2012 adalah sekitar RM 11 billion. Bagaimana pun, nilai ini hanya menyumbang kira-kira 1 peratus sahaja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Tetapi jangan kita terperangkap dengan nilai angka ini. Kita harus memahami bahawa di sebalik angka-angka ini terdapat sebuah rangkaian kehidupan sosial yang besar dan kompleks yang memerlukan satu penilaian yang baru, lebih komprehensif dan jujur terhadap dasar buruh, nelayan mahupun perikanan.

Apakah mungkin kes nelayan terlibat dengan masalah dadah dan HIV seperti yang dilaporkan Project Waves adalah manifestasi dari jiwa dan mental golongan yang kecewa? Semua ini manifestasi kegagalan siapa?