Berita

5 tahun BN rampas kuasa di Perak, mana janji 2000 ekar tanah untuk Sekolah Tamil?

BATU GAJAH, 2 JULAI: Sudah masuk tahun kelima rampasan kuasa BN terhadap kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, namun mereka masih gagal menunaikan janji memperuntukkan 2000 ekar tanah bagi sekolah-sekolah Tamil.

“Sebaik saja kerajaan negeri dirampas BN pada tahun 2009, MIC Perak dengan gopoh membuat pengumuman bahawa kerajaan akan beri 2000 ekar tanah untuk sekolah Tamil. Masuk ke pertengahan tahun 2014, janji ini masih belum ditunaikan.

“Kenapa MIC dan kerajaan Negeri Perak sudah senyap semula mengenai isu 2000 ekar tanah yang kononnya akan diberikan kepada sekolah-sekolah Tamil ini?” soal Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Gajah V Sivakumar dalam satu kenyataan semalam.

Beliau juga menyatakan kerisauan kemungkinan ada pihak yang ingin mengambil kesempatan mendapatkan tanah secara tidak wajar.

“Saya tidak percaya MIC akan menyelesaikan masalah ini dengan jujur. Saya lihat ia sengaja dilambat-lambatkan pihak tertentu. Mungkinkah MIC sedang mencari jalan bagaimana menghilangkan 2000 ekar tanah ini?” katanya sambil menambah bahawa hal itu berkemungkinan berlaku, memandangkan rekod buruk parti itu menjaga kebajikan masyarakat India.

Sivakumar yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini sudah beberapa kali membangkitkan isu ini, namun tidak dilayan kerajaan negeri.

Sehubungan itu, beliau mendesak Menteri Besar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir agar tidak lagi berdiam diri, dan menjelaskan status tanah yang dijanjikan itu, serta apa yang telah dilakukan kerajaan Negeri berhubung perkara itu.

“Lima tahun setengah adalah terlalu lama. Jika saya tidak membangkitkan isu ini sekali lagi, perkara ini pasti tidak akan dipedulikan. Masing-masing akan tidur nyenyak, tanpa menghiraukan isu tanah ini dan keadaan sekolah Tamil yang uzur,” katanya lagi. – Roketkini.com