Berita

Jika universiti Malaysia tak ingin ketinggalan, hentikan tekanan

KUALA LUMPUR, 3 JUL: Jika tidak ingin universiti Malaysia terus ketinggalan di peringkat antarabangsa, kerajaan tidak boleh menekan dan mengawal dunia akademik, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Amalan ‘menekan’ dimaksudkan Guan Eng termasuk akta-akta zalim yang wujud sejak sekian lama seperti Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan Akta Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976.

“Jelas kebebasan akademik tiada dalam kosa kata Kementerian Pendidikan. Akta zalim seperti AUKU dan Akta Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 patut dimansuhkan. Kerajaan harus menghentikan intimidasi dan menekan dunia akademik.

“Kegagalan berbuat demikian bukan sahaja memusnahkan kebebasan akademik, tetapi membantutkan kecemerlangannya.

“Universiti di Malaysia terus-menerus merosot. Tiada satu pun universiti tempatan termasuk dalam senarai Top 100 Time Higher Education 2014 bagi universiti di Asia,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas tindakan Kementerian Pendidikan mengarah Profesor Dr Mohamad Redzuan meletakkan jawatan sebagai Pengarah dari Pusat Kajian Demokrasi & Pilihanraya Universiti Malaya (Umcedel).

Selain ditekan untuk meletakkan jawatan, kedudukan Redzuan sebagai Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM juga tidak diperbaharui.

Sebagai tanda bantahan, bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah meletakkan jawatan sebagai Felo Penyelidik Kanan di fakulti sama.

Saifuddin kemudian menyatakan bahawa arahan peletakan jawatan dibuat ‘pihak tertentu di Kementerian Pendidikan’, menguatkan keyakinan keputusan tersebut bermotif politik.

“Walaupun Saifuddin pemimpin BN, DAP menyokong penuh pendiriannya membela Redzuan dan prinsip kebebasan akademik. Kami mengecam tindakan atas layanan buruk dan penindasan yang semakin melampau terhadap mahasiswa dan ahli akademik,” kata Guan Eng.

Beliau turut membangkitkan beberapa insiden lain dalam dunia akademik, antaranya tindakan ke atas pensyarah dan pakar perlembagaan Profesor Dr Abdul Aziz Bari yang digantung tugas daripada Universiti Islam Antarabangsa hanya kerana mengulas arahan Sultan Selangor berhubung serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke gereja Damansara Utama Methodist Centre pada 2011.

Manakala pada tahun ini sahaja, 25 mahasiswa pelbagai universiti dikenakan tindakan disiplin atas pelbagai sebab, termasuk kerana menunjukkan bantahan terhadap perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) ketika kunjungan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan menulis status anti-GST di akaun Facebook mereka.

Selain itu, mahasiswa tahun akhir Australian National University, Aslam Abdul Jalil diarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi surat tunjuk sebab hanya kerana menyertai forum anjuran universitinya yang turut menampilkan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua. – Roketkini.com