KUALA LUMPUR, 10 JUL: Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sambil melihat kegiatan dapur jalanan dan agihan makanan kepada gelandangan sebenarnya agak terlewat, selain tidak membawa faedah kepada golongan tersebut.
Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata, kehadiran Najib malam tadi di sekitar pusat beli-belah Kota Raya dan hentian bas Cahaya Suria membuktikan bahawa Perdana Menteri langsung tidak tahu apa yang wajar dilakukannya.
“Saya hairan apabila melihat Perdana Menteri sekadar datang melawat gelandangan di kaki lima dan kemudian membiarkan sahaja mereka di situ tanpa membuat apa-apa.
“Ternyata nasib warga miskin kota tidak berubah walaupun Perdana Menteri sendiri melawat mereka. Bagaimana mungkin warga miskin terus dibiar tidur di kaki lima selepas lawatan Perdana Menteri?” kata Lip Eng dalam satu kenyataan hari ini.
Lawatan Najib malam tadi turut disertai Menteri Wilayah Persekutuan & Kesejahteraan Bandar Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim.
Menurut Lip Eng, lima tahun lalu beliau dan beberapa rakan telah mengedarkan sejumlah makanan kering kepada warga miskin kota dan gelandangan bagi menolak dakwaan Najib bahawa kononnya ibu kota sudah tidak lagi mempunyai warga miskin tegar.
Malangnya, “Sejak itu pun Perdana Menteri dan Barisan Nasional tidak banyak membantu untuk meringankan beban yang ditanggung mereka yang tidak bernasib baik, selain membuat pengumuman dan berjanji itu dan ini,” ujar beliau.
“Adakah selepas lawatan kali ini Najib Razak akan merangka suatu penyelesaian yang baik bagi menangani permasalahan gelandangan dan warga miskin kota?
“Adakah cadangan ‘mengangkut’ para peminta sedekah serta mengenakan saman terhadap mereka yang memberi sedekah adalah rancangan terbaik yang mampu beliau fikirkan?” soal Lip Eng.
Lip Eng menganggap meski pun lawatan Najib itu menggembirakan gelandangan, ia tidak akan memberi makna jika tiada sebarang langkah proaktif diambil.
“Beliau tidak pernah berbuat apa-apa sejak lima tahun lalu, dan beliau sendiri tidak tahu apa yang patut beliau lakukan sekarang. Lawatan Perdana Menteri semalam tidak memberi sebarang faedah selain satu usaha publisiti dan menyelamatkan imej partinya yang dirosakkan para menterinya.
“Lawatan Perdana Menteri sama tarafnya dengan satu-satunya gol yang dijaringkan Brazil dalam perlawanan separuh akhir Piala Dunia menentang Jerman, setelah dimalukan dengan tujuh gol,” sindir Lip Eng. – Roketkini.com