Rencana

Nasib (kuih) Melayu di bulan Ramadan

Jam lebih kurang 4.30pm. Waktu yang sedang-sedang elok untuk berangkat menunaikan ‘ritual’ petang hari di bulan puasa –  merayau di bazar Ramadan. Aku kurang pasti sejak bila perkataan bazar ini digunakan, tapi yang jelas semasa aku masih lagi anak kecil, kami di kampung tidak pernah memanggilnya bazar Ramadan. Hanya pasar Ramadan. Bukankah perkataan bazar itu sama sahaja ertinya dengan pasar? Barangkali bazar itu perkataan yang lebih dekat dengan Islam, kan Arab itu Islam?

Maka berangkatlah aku. Ternyata Ramadan tidak seluruhnya mampu menyemai sabar, apatah lagi dalam kalangan pengguna jalanraya di negara ini. Masing-masing mahu sampai rumah awal barangkali. “Macamlah boleh buka awal”, getus hati aku, separuh meradang, separuh ditahan.

Dalam radang-radang itu, tiba juga aku ke bazar atau pasar Ramadan. Sebagaimana biasa jumlah manusianya ramai tak terhitungkan. Hatta dalam negeri yang dikatakan tiada Melayu ini, penuh dengan Melayu, bersesak-sesak, berhimpit-himpit. Entah dari mana munculnya tidak pula ingin aku pastikan.

Anehnya, ketika aku mengaji dahulu, pesan Lebai Sahak, bulan Ramadan adalah bulan ibadah, bulan untuk banyakkan baca Al-Quran, bulan banyak solat sunat, bulan untuk banyak doa. Tapi kini nampaknya bulan Ramadan adalah bulan orang Melayu berniaga. Tapi betul juga, berniaga itukan ibadah? Bukankah Ramadan itu lebih baik daripada seribu bulan, maka mungkin sebab itulah ramai Melayu yang hanya berniaga di bulan Ramadan dan makan gaji lagi 11 bulan.

Aku pun melihat-lihat jualan –  dari lopes membawa ke pulut panggang, dari air tebu sampai ke air katira, dari murtabak hingga roti jala. Oleh sebab hanya pada bulan puasa, jumlah peniaga Melayu meningkat mendadak, maka variasi pilihan makanan juga bertambah. Pada waktu inilah, akan ada banyak kuih tradisional atau ‘eksotik’ pada kaca mata orang bandar muncul di atas meja jualan seperti akok, tepung pelita, dan kole kacang.

Entah kerana diri aku yang semakin membesar atau karipap, kuih talam, dan putu piring yang semakin mengecil. Saiznya tersangatlah comel, sehingga kalau disusun di atas tapak tangan bayi yang baru pandai merangkak pun boleh muat 3 biji.

Karipap sardin pula sebenarnya tidak mencerminkan namanya – panggilan yang lebih tepat adalah karipap bawang perasa sardin. Manakala murtabak daging sebenarnya roti telur dengan cebisan daging. Tambah sayu melihat acar lauk yang sebenarnya tiada lagi berlauk dan cucur udang yang gagal untuk dikesan DNA udangnya. Ya, memang lawak bodoh untuk bandingkan cucur udang dengan cucur badak yang memang tak ada badak.

Pada masa yang sama, harganya tidak pula ikut sama mengecut sebagai mana saiznya, malah meningkat pula. Jika 20 tahun dahulu, aku masih lagi dapat lima biji kuih cucur badak dengan dua keping syiling 50 sen, kini dengan RM2, aku hanya mampu bawa pulang 4 biji kuih yang sama dengan saiz dan kualiti yang jauh merosot.

Kuih Melayu & Nasib Malaysia

Apakah nasib yang menimpa kuih Melayu ini kerana kerakusan dan ketamakan para peniaga kecil bazar Ramadan? Tanpa perlu menafikan wujud segelintir peniaga yang ingin mengaut untung lebih di bulan puasa, harus kita sedari juga bahawa nasib yang kuih Melayu ini merupakan manifestasi kepincangan sistem ekonomi negara ini untuk sekian lama.

Benar, berbanding negara yang sentiasa diancam bencana alam, perang saudara dan keditaktoran total, Malaysia masih jauh lebih selesa – punya makan, pakai. Namun, sejak 15 tahun terakhir ini, atau tepatnya dengan bermula kegawatan ekonomi Asia, ekonomi negara ini terperangkap dalam pendapatan sederhana. Pada masa yang sama, kuasa beli kita semakin mengecil. Apakah yang dimaksudkan dengan kuasa beli ini?

Kuasa beli bukan bererti jumlah wang. Jumlah benda yang mampu kita beli dengan RM10 di bazar Ramadan pada tahun 2014 tidak sama dengan jumlah benda yang mampu kita beli di bazar Ramadan tahun 2004. Kuasa beli adalah kemampuan untuk satu unit wang untuk membeli sesuatu produk atau perkhidmatan. Kuasa beli ini juga relatif kepada tempat. Contohnya, jika di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, RM1 mungkin hanya dapat 2 potong kuih talam, berbanding dengan di kampung Parit Jawa, Batu Pahat, yang mungkin menjual kuih yang sama dengan harga 3 potong RM1.

Mungkin ada yang kata, harga meningkat kerana pendapatan juga meningkat. Tahun 1940, pendapatan bulanan mungkin hanya beberapa ringgit tapi harga nasi lemak mungkin hanya 5 sen. Tetapi peningkatan harga barangan selalunya tidak sejajar dengan peningkatan pendapatan. Mari kita ambil contoh Syukri Sufian yang bekerja di kilang papan di Kluang sejak tahun 2005. Gaji permulaan beliau ketika itu sebagai pemandu forklift hanya RM1200 sebelum tolak caruman KWSP. Kini setelah 9 tahun, gaji pemandu forklift telah meningkat kepada RM1500. Ertinya, Syukri Sufian telah mendapat kenaikan gaji sebanyak 25%. Adakah kini, Syukri Sufian telah 25% lebih kaya berbanding tahun 2005?

Jawapannya tidak, kerana harga barangan telah ikut naik dan telah naik lebih banyak berbanding kenaikan gaji Syukri Sufian. Sebagai contoh, cuba bandingkan harga kuih ketayap di bazar Ramadan pada tahun 2005 dengan sekarang. Pada 2005, mungkin masih boleh dapat 4 gulung untuk RM1. Kini kebanyakan kuih, termasuk kuih ketayap dijual dengan harga 5 biji untuk RM2. Ertinya, harga kuih ketayap telah naik 60%, sedangkan gaji Syukri Sufian hanya naik 25%! Maka, meskipun dalam tempoh 9 tahun gaji Syukri Sufian telah naik, tetapi kuasa beli beliau sebenarnya semakin kecil.

Tambah malang lagi, bukan sahaja harga satu unit kuih ketayap telah naik, malah kualiti kuih ketayap itu telah merosot dari segi saiz dan kualiti bahannya. Situasi inilah yang dinamakan sebagai kesan berganda, harga naik dan kualitinya semakin merosot.

Jika kita meneliti kenaikan harga rumah, kereta dan lain-lain barangan serta perkhidmatan, pastinya kita akan bersetuju bahawa situasi ini bukan hanya berlaku kepada kuih ketayap kita di bazar Ramadan.

Akhirnya aku pulang bersama sejinjit beg plastik berisi 3 biji kuih pulut panggang dan segunung simpati kepada tragedi yang menimpa kuih Melayu di negara ini. Aku hanya mampu berharap, agar pulut panggang yang aku beli ini masih ada serunding di dalamnya.