Berita

DAPSY lancar kutipan derma bantu Adun Padungan bayar kes Taib Mahmud

KUALA LUMPUR, 16 JUL: Pemuda DAP Kebangsaan (DAPSY) melancarkan kempen mengumpul dana membantu Naib Ketua DAPSY Wong King Wei yang terpaksa membayar RM7,000 kepada Yang di-Pertua Negeri (YDPN) Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud dalam satu kes mahkamah.

Pada 28 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Sarawak menolak permohonan ex parte Wong bagi menghalang Abdul Taib menerima pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri itu. Mahkamah memerintahkan Wong membayar kos RM7,000 kepada bekas Ketua Menteri itu.

Ketua DAPSY Teo Kok Seong berkata, kempen diadakan sebagai solidariti kepada Wong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padungan atas usahanya untuk mempertahankan Perlembagaan Sarawak bagi pihak rakyat negeri itu.

“DAPSY bersolidariti bersama beliau mempertahankan Perlembagaan Negeri. Ini bukan kes peribadi, sebaliknya melibatkan kepentingan awam.

“Beliau mempunyai hujah Perlembagaan Negeri yang kuat bagi menyokong kesnya,” kata Teo sambil memetik Artikel 2(2) Perlembagaan Sarawak, yang melarang YDPN daripada memiliki sebarang kepentingan atau kaitan dengan apa-apa perusahaan komersial.

“Namun, pencabulan terang-terangan ke atas Perlembagaan Negeri ini tidak cukup untuk mahkamah menghentikan pelantikan itu. Menurut Hakim Mahkamah Tinggi Sabah Chew Soo Ho, ia di luar bidang kuasa mahkamah,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat DAP, di sini pagi tadi.

Justeru, beliau menyeru orang ramai bersama-sama menunjukkan sokongan kepada Wong dengan menyumbang dalam kutipan dana ini.

Kedudukan Taib selaku pengarah serta memiliki 400,000 pegangan saham dalam syarikat Mesti Bersatu Sdn Bhd sejak Mei 2007 diketahui umum serta mendapat liputan meluas media.

Dalam pada itu, Pengarah Biro Hal Ehwal Antarabangsa DAPSY Wong Kah Woh menyifatkan kempen itu sebagai isyarat jelas tekad DAP untuk memperjuangkan keadilan dan keluhuran Perlembagaan.

“Bukan jumlah RM7,000 itu yang utama, tetapi keadilan dan Perlembagaan. Kami ingin menunjukkan solidariti penduduk Semenanjung kepada komrad serta rakyat Sarawak. Kami bersama-sama untuk berjuang demi keadilan dan Perlembagaan,” katanya lagi.

Turut hadir dalam sidang media tadi adalah Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan Rajiv Rishyakaran dan Setiausaha Kebangsaan Tan Hong Pin.

Kempen ini berlangsung bermula hari ini sehingga 26 Julai ini. Jumlah kutipan akan diumumkan selepas kempen tamat.

Sebarang pertanyaan boleh dipanjangkan ke emel [email protected]. Sumbangan boleh disalurkan ke nama: DAP Socialist Youth Malaysia nombor akaun: 3189-4183-03 (Public Bank) -Roketkini.com