Setiap kali Ramadan menjenguk, pasti ada antara kita akan mengambil kesempatan untuk meraikan golongan yang kurang bernasib baik. Ramadan bukan bulan membeli kuih-muih di bazar, baju Melayu di pasaraya maupun memasang pelita di malam raya.
Ramadan adalah bulan untuk membebaskan diri daripada penghambaan nafsu, penindasan dan kemiskinan jiwa. Bulan ini bukannya untuk merayakan diri sendiri sebaliknya anak-anak yatim – antara golongan asnaf yang sering dipinggirkan dalam pembangunan. Berbagailah majlis dan program dijalankan, antaranya ziarah Ramadan.
Di Bukit Mertajam, setiap ADUN dan Ahli Parlimen melawat kawasan masing-masing, cumanya pada kali ini dengan mengedar bubur lambuk dan buah kurma kepada penduduk. Ada yang mengacau bubur lambuk, ada yang mengedar bubur lambuk pada orang ramai, ada yang berbuka puasa di masjid dan surau-surau. Tidak kurang juga yang memilih turun ke rumah-rumah untuk memberi sendiri sedikit sumbangan.
Inilah yang wajar dilakukan wakil rakyat iaitu turun padang dan mengetahui sendiri keadaan sosioekonomi di kawasan masing-masing.Jika setiap warga dituntut untuk menurunkan kepercayaan di peti-peti undi, wakil rakyat yang dipilih juga perlu keluar dari pejabat berhawa dingin dan meninjau sendiri sejauh mana perubahan yang dibawanya.
Begitulah yang dilakukan Chong Eng sebagai Adun Padang Lalang, merangkap EXCO Belia & Sukan dan Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti. Beliau melawat flat-flat di kawasannya, antaranya Taman Kota Permai, Taman Permai Jaya.
Wakil rakyat harus menanggung beban makna “rakyat” dan ini yang diterjemahkan dengan perbuatan merakyatnya, tidak kisah untuk duduk bertinggung. Adun yang dahulunya merupakan seorang ahli Parlimen ini sudah terbiasa dengan rutin harian seperti ini.
Itulah sebaiknya peranan yang dimainkan oleh kerajaan dalam berkhidmat kepada rakyat. Jaringan keselamatan sosial adalah lebih mustahak berbanding kerajaan yang memilih untuk mengendap peluang memeras duit daripada rakyat yang paling merasa beban ekonomi negara.
Sejauh mana jaringan keselamatan sosial yang lebih komprehensif akan dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan seperti diuar-uarkan tahun lepas? Jika kita punya jaringan keselamatan sosial yang baik, sudah tentu kes-kes seperti baru-baru ini, iaitu OKU yang dikurung, dapat dikenal pasti. Dalam keadaan sekarang, kita lebih teruja untuk pecah masuk rumah orang untuk tangkap basah. Soalnya, di mana keutamaan kita dalam isu-isu yang mendesak?
Lawatan dari rumah ke rumah bukannya hanya menunggu raya atau pilihanraya. Sebaliknya ia patut dijalankan selalu, sesuai dengan keperluan penduduk kawasan setempat. Kerajaan telah diikat oleh perjanjian (kontrak sosial) dengan rakyatnya, selama tanggungjawab ini terlaksana dengan baik, rakyat harus patuh. Jika perjanjian ini dilanggar, rakyat punya hak untuk mempersoal dan menuntut kerajaan menunaikan amanahnya.
Politik mengajar kita cara mengurus masyarakat (bagi sesetengah yang lain ialah mengekalkan kuasa). Oleh itu, politik juga diikat dengan etika yang memerlukan semak-imbang daripada masyarakat terbanyak – “What is morally incorrect cannot be politically correct.”
Justeru, bulan Ramadan juga tidak terkecuali dalam menilai perjanjian antara kerajaan dan rakyat, perjanjian yang melebihi kurma Yusuf Taiyoob dan bubur lambuk kepada gelandangan di ibu kota. Perjanjian yang membuat kita menginsafi peranan kerajaan dalam berbakti kepada warganya seperti ditunjukkan oleh kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak diberi kepercayaan oleh rakyat.