Berita

Berlaku ‘konflik kepentingan’ jika DAP turut wakili pemandu Karpal

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: DAP tidak boleh memberikan bantuan guaman kepada C Selvam, pemandu mendiang Karpal Singh yang terlibat dalam tragedi yang mengorbankan bekas Pengerusi parti itu, atas sebab konflik kepentingan.

Ketua Biro Guaman DAP Gobind Singh Deo berkata demikian dalam satu kenyataan yang menyangkal tuduhan sesetengah pihak yang mengkritik DAP dan keluarga mendiang kerana dilihat enggan membantu C Selvam.

Sebelum ini, Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Huan Cheng Guan menuduh kononnya DAP hanya akan memberikan bantuan jika ia memberikan ‘faedah politik’.

Tidak mahu ketinggalan, MCA hari ini mendakwa tindakan itu menunjukkan DAP telah mengecewakan rakyat.

Menurut Gobind, DAP telah membentuk pasukan peguam yang diketuai oleh beliau sendiri untuk membantu keluarga mangsa dengan memerhati perjalanan perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kampar.

“Kami tidak boleh membantu atau bertindak bagi kedua-dua pihak (pendakwa dan pembela) dalam sebarang perbicaraan mahkamah, apatah lagi dalam kes jenayah. Ini adalah perkara paling asas.

“DAP memberikan bantuan guaman kepada keluarga Karpal, pembantu peribadi beliau mendiang Michael Cornelius dan seorang lagi pembantu, Selfiana Rengga, dalam kes ini.

“Maka, tentulah malang apabila ada pihak yang merasakan wajar untuk mempolitikkan isu ini dengan mengecam pihak keluarga dan DAP kerana tidak membantu C Selvam,” katanya yang akan mengetuai pasukan peguam dalam kes ini nanti.

Pada 9 Julai lalu, Selvam didakwa di Mahkamah Sesyen Kampar atas tuduhan memandu secara berbahaya.

Menurut Ahli Parlimen Puchong itu, keputusan untuk mendakwa C Selvam dibuat oleh pihak Peguam Negara, maka DAP dan keluarga mendiang menyerahkan kepada sistem perundangan negara untuk memberikan keadilan kepada semua yang terlibat.

“Ada seruan agar tertuduh dalam kes ini diberikan keadilan. Kami berharap keadilan juga diberikan kepada pihak mangsa.

“Jika C Selvam didapati tidak bersalah, beliau perlu dibebaskan. Namun jika sebaliknya, beliau, seperti semua warga yang tertakluk di bawah undang-undang Malaysia, perlu berdepan dengan hukuman yang setimpal,” katanya lagi.

Mahkamah menetapkan 8 Ogos ini bagi sebutan kes. Jika didapati bersalah, Selvam boleh dipenjarakan sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM20,000, atau kedua-duanya sekali. -Roketkini.com