Berita

10 Ogos hari penentuan masa depan Pakatan – Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menyifatkan 10 Ogos ini sebagai hari penentuan kepada masa depan Pakatan Rakyat, bukan sekadar tentang nasib Tan Sri Abdul Khalid sebagai Menteri Besar (MB) Selangor.

10 Ogos ini merupakan tarikh mesyuarat Jawatankuasa Pusat DAP dan PAS bagi membuat keputusan berhubung pencalonan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai MB Selangor yang baru.

Sementara DAP menyokong penuh cadangan itu, PAS dilihat masih ingin mengekalkan Khalid, yang sama sekali bertentangan dengan keputusan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat 23 Julai lalu untuk menghormati hak PKR dalam menentukan MB.

“Perkembangan berkenaan isu ini selepas mesyuarat Majlis Presiden PR 23 Julai lalu telah teruk menjejaskan keyakinan rakyat terhadap perpaduan Pakatan sebagai pilihan untuk menggantikan Umno BN.

“(Maka) 10 Ogos ini bukan sekadar ‘hari penentu’ kepada Abdul Khalid, akan tetapi kepada Pakatan rakyat yang berusia enam tahun, sama ada boleh terus membawa harapan dan kehendak rakyat untuk membuat perubahan politik di negara ini, selepas berdekad di bawah hegemoni Umno yang korup dan tidak adil,” katanya dalam satu kenyataan.

Dua hari selepas mesyuarat Majlis Presiden PR, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat kenyataan mahu Khalid kekal memegang jawatan MB.

Semalam, Majlis Syura PAS pula mengeluarkan kenyataan yang serupa, memburukkan lagi pergeseran antara parti itu dengan DAP dan PKR.

Sehubungan itu, tokoh veteran DAP itu sekali lagi mengingatkan Pakatan, agar kembali kepada komitmen yang disepakati bersama dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat pada tahun 2009, jika tidak mahu disingkirkan dengan hanya menjadi ‘nota kaki’ sejarah negara.

“Bolehkah kita bertahan di sebalik krisis terburuk ini? Ia bergantung terhadap komitmen semua pemimpin ke atas matlamat asal kita dan Dasar Bersama yang dipersetujui sejak enam tahun ini.

“Keadaan sebaliknya adalah terlalu dahsyat untuk difikirkan kerana Pakatan Rakyat pastikan akan terasing ke sudut nota kaki sejarah Malaysia,” katanya lagi. – Roketkini.com