Rencana

Islamis mesti patriotik

oleh: Wan Salman Wan Sallam

Muslim yang berpegang dengan prinsip dan bergerak progresif amnya yakin bahawa prinsip asas dalam Islam menjadikan Islam itu agama yang praktikal kerana keanjalan pentafsiran amalan dalam bidang tertentu yang mementingkan pemahaman realiti, keperluan (maslahah) dan kerosakan (mafsadah), selain mengambil kira tujuan tertinggi (maqasid) syariah.

Hal ini sangat ketara terutamanya dalam politik. Selepas zaman pemimpin-pemimpin Al-Rasyidin, corak politik dan pemerintahan mula berubah kepada monarki. Meneliti penerimaan politik zaman sekarang pula, gerakan Islam seluruh dunia yang progresif bergiat aktif dalam kerangka demokrasi dengan menyertai pilihanraya di negara masing-masing, sebagai contoh Parti Keadilan Sejahtera di Indonesia dan Ennahda di Tunisia.

Namun, merenung ke peringkat akar umbi, adakah para Islamis pengikut tegar usrah, tarbiah, dan dakwah jujur dengan pemahaman kerangka negara dan bangsa semasa dalam ertikata terlibat menjadi rakyat Malaysia yang benar-benar menzahirkan cinta terhadap negara?

Atau lebih mudah, banggakah Islamis menjadi rakyat Malaysia? Adakah Islamis berani mengaku mempunyai semangat patriotik dengan ikhlas?

Saya tidak semestinya bersetuju dengan semua gagasan Faisal Tehrani. Namun, memetik daripada karyanya, Bagaimana Anyss Naik ke Langit, dalam dialog Mustaqim bersama ibunya, Profesor Anyss, saya kira ada sudut pandang yang boleh dipakai oleh Islamis untuk bermuhasabah:

“Mengapa orang kita rasa menolong Palestin lebih bersyurga kalau Penan di halaman sendiri diperlakukan sebagai mangsa?”

Tidak, saya tidak menafikan, malah memuji usaha Malaysia, terutamanya daripada badan bukan kerajaan seperti Humanitarian Care Malaysia (dahulu Aqsa Syarif Berhad), dalam sumbangannya yang amat membanggakan dari segi kewangan dan kesedaran sivil untuk membantu golongan tertindas di Palestin.

Apa yang cuba diutarakan di sini ialah sejauh mana kita sedar di mana Islamis berpijak sekarang kerana hal inilah yang seterusnya mampu merungkai sama ada Islamis itu ikhlas menjadi rakyat dan ikut serta membina negara yang lebih baik atau tidak.

Bagi mendalami hal kesetiaan terhadap negara ini, kita boleh mengamati ayat-ayat suci Al-Quran (60:1-9). Berdasarkan bahagian pertama surah ini, dinyatakan, “Janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuh kamu menjadi teman rapat dengan cara kamu menyampaikan (rahsia orang mukmin) disebabkan hubungan kasih mesra kamu dengan mereka; mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran…”. Ayat ini seolah-olah memberi legitimasi kepada Muslim untuk menghindari dan menghalang segala bentuk kerjasama dengan orang ‘kafir’ yang ‘diragui’.

Namun, hakikatnya ayat ini juga harus dibaca secara keseluruhan, sehingga ayat ke-9. Antara lain intipatinya ialah mendefinisikan lebih lanjut siapa sebenarnya ‘kafir’ yang memusuhi mereka, iaitu yang memerangi sahabat dan Nabi hanya kerana keislaman mereka, mengeluarkan mereka dari kampung halaman asal mereka, dan yang membantu pengusiran sahabat dan Nabi tanpa diberi keadilan.

Hal ini antara lain dapat di-tadabbur dalam kerangka hak orang yang berasal di sesuatu tempat yang didiami mereka sejak sekian lama untuk terus menduduki tempat itu. Wajarkah kerana seseorang itu menganut kepercayaan yang tidak kita percayai maka kita halau mereka daripada tempat asal mereka?

Mendalami pula sebab penurunan bahagian ayat ini juga dapat menerangkan betapa pentingnya kesetiaan kepada negara agar negara dapat dipertahan daripada serangan musuh. Direkodkan dalam hadis riwayat Bukhari bahawa seorang sahabat, Hatib bin Abi Baltaah, hampir membocorkan rahsia Pembukaan Kota Mekah (Fathu Makkah) kepada kaum Quraisy Mekah melalui seorang utusan wanita. Dia berharap agar dengan bantuannya itu, keluarganya yang ditinggalkan di Madinah mendapat perlindungan. Setelah ditangkap utusan itu dan ditegur, Hatib diyakinkan Nabi bahawa pertolongan Allah itu ada buat yang yakin dengannya, disertakan ikhtiar yang munasabah.

Satu sisi pandang yang boleh diteliti ialah takrifan sebenar musuh, iaitu yang sememangnya memerangi dengan niat pengusiran dan penafian hak asas sebagai warganegara. Kesetiaan kepada negara juga ditonjolkan apabila ditegaskan walaupun adanya kepentingan di kampung halaman, hal ini tidak mewajarkan seseorang untuk bertindak mengkhianati perjanjian yang dipersetujui berama oleh kumpulan lebih besar.

Setelah banyaknya contoh yang ditonjolkan dan banyak lagi yang terkandung dalam Al-Quran, hadis dan sejarah, hakikatnya penyampaian mesej Islam itu bukanlah sekadar pengislaman komuniti masyarakat semata-mata, bahkan merangkumi penyempurnaan hak sebagai rakyat dan warganegara serta kepentingan ketaatan dan kesetiaan kepada perjanjian yang membina negara makmur dan diredai Ilahi.

Oleh itu, tidak wajarlah jika Islamis menganggap patriotik itu hanya pada mengibarkan Jalur Gemilang dan menyanyi lagu patriotik yang akhirnya dianggap ‘skema’ atau ‘nerd’. Seharusnya difahami dan diyakini bahawa mengutuhkan cinta kepada negara dalam konteks menghargai perjanjian dan keharmonian merupakan mesej dakwah yang tidak kurang pentingnya, jika kita benar mengimani Islam sebagai rahmat buat semua dan Islam sebagai jalan penyelesaian.

*Penulis ialah Pengarah Kempen #AkuMerdeka IKRAM Siswa USIM KL