Berita

Nicol David, atlet Pulau Pinang di Komanwel Glasgow terima insentif

GEORGE TOWN, 8 SEPT: Pemain skuasy nombor satu dunia Datuk Nicol Ann David bersama enam atlet Pulau Pinang menerima insentif kerajaan negeri selepas pencapaian cemerlang mereka semasa Sukan Komanwel XX di Glasgow 2014.

Nicol yang memenangi pingat emas dalam acara skuasy individu wanita menerima insentif kerajaan Pulau Pinang berjumlah RM40,000, manakala Zulhelmi Md Pisol yang memenangi pingat perak dalam sukan angkat berat kategori 56 kg menerima RM20,000.

“Setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Menteri Pulau Pinang dan kerajaan negeri yang berbesar hati memberi insentif kepada saya dan atlet Pulau Pinang berikutan pencapaian kami di Sukan Komanwel Glasgow,” kata Nicol dalam satu kenyataan ringkas.

Selain beliau, turut menerima insentif berjumlah RM7,500 ialah Chan Peng Soon pemain badminton negara bagi kategori beregu lelaki dan penyerahan tersebut disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam sebuah majlis di Komtar, Jumaat lalu.

Hadir sama dalam majlis penyerahan tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd Rashid Hasnon Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang bersama Chong Eng, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita dan Komuniti,

16 daripada 179 orang atlet yang mewakili negara merupakan atlet negeri Pulau Pinang yang menyertai lapan jenis sukan iaitu Terjun Akuatik, Angkat Berat, Badminton, Berbasikal, Boling Padang, Hoki, Skuasy, dan Menembak.

Enam daripada 16 atlet Pulau Pinang berjaya menyumbang tiga butir pingat emas dan tiga butir pingat perak buat Kontinjen Negara semasa Sukan Komanwel XX Glasgow 2014.

Kontinjen Negara secara keseluruhannya berjaya memenangi sebanyak enam pingat emas, tujuh perak, dan 6 butir pingat gangsa dari 10 jenis sukan meliputi sukan Badminton, Angkat Berat dan Powerlifting, Akuatik (renang dan terjun), Badminton, Berbasikal, Ping Pong, Boling Padang, Gimrama, Skuasy, dan Menembak.  – Roketkini.com