Berita

DAP ucap tahniah Parti Sosial Demokratik menang p’raya Sweden

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: DAP mengucapkan tahniah kepada Parti Sosial Demokratik Sweden (SAP), selepas parti itu berjaya memenangi Pilihanraya Umum (PRU) negara itu Ahad lalu.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, kemenangan itu lebih bermakna memandangkan iklim politik di Eropah lebih didominasi parti berhaluan kanan (atau liberalisme klasik dan kapitalisme).

“Kemenangan SAP menunjukkan demokrasi sosial relevan ke arah mewujudkan dunia berasaskan nilai masyarakat serta kebebasan dan keadilan, bukan sekadar kuasa dan kepentingan.

“Kemenangan ini bukan sahaja kepada SAP, tetapi untuk gerakan demokrasi sosial di seluruh dunia,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu dalam satu kenyataan semalam.

Kemenangan  SAP dalam PRU di Sweden menamatkan tempoh panjang parti itu sebagai pembangkang apabila meraih kerusi parlimen terbanyak dengan 113 kerusi (31.2 peratus undi).

Parti Moderat mendapat jumlah kerusi kedua tertinggi, dengan 84 kerusi manakala Parti Demokrat, yang membawa dasar anti-imigran di tempat ketiga dengan 49 kerusi.

SAP bakal mengetuai kerajaan minoriti bersama-sama beberapa parti lain, namun menurut laporan The Guardian, Ketua SAP Stefan Lofven telah pun menolak untuk bekerjasama dengan Parti Demokrat.

DAP, sebagai parti yang turut berpegang kepada idea demokrasi sosial mempunyai hubungan yang lama dengan SAP.

“Kami sentiasa mengenang jasa baik SAP dalam menganjurkan program bimbingan pada tahun 1995, selepas DAP kalah teruk pada PRU tahun itu.

“Siri kursus yang dibekalkan SAP memberikan motivasi penting bagi pemimpin generasi baru untuk bersungguh-sungguh dan menyediakan asas untuk peralihan kerajaan yang berjaya, seperti ditunjukkan dengan kejayaan Pulau Pinang,” katanya lagi. – Roketkini.com