Berita

Menteri Perumahan diminta jangan lihat keperluan rakyat dari sudut perkauman

IPOH, 29 SEPT: Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rahman Dahlan bukan sahaja angkuh, tetapi melakukan pembohongan dengan memburuk-burukkan DAP melalui tulisannya laman mikro twitter.

Ketua Biro Pembangunan Politik dan Ekonomi DAP Perak Chong Zhemin berkata, beliau tidak dapat menolak kepentingan untuk melakukan siasatan menyeluruh keatas dakwaan pembeli rumah yang menjadi mangsa pemaju perumahan.

Namun kata Chong, Rahman sebagai seorang menteri tidak boleh menjadikan isu keperluan perumahan rakyat dari sudut perkauman, dan kemudian mensensasikannya sebelum penyiasatan dijalankan.

Isu tersebut timbul selepas mesej seorang pembeli mengenai dakwaan manipulasi harga oleh pemaju perumahan tersebar di internet sejak beberapa hari lalu.

Pembeli tersebut mendakwa perlu membayar jauh lebih tinggi pada peringkat awal untuk membeli rumah daripada syarikat perumahan, menyebabkan sukar untuk memiliki rumah sendiri.

Rahman, dalam siri kirimannya di laman mikro twitter semalam menulis antaranya; ‘Let me be clear. I don’t take lectures or advice from a chauvinist and racist party like DAP! Period!’ (“Biar saya jelaskan. Saya tidak mengambil pandangam atau nasihat daripada chauvinis dan parti perkauman seperti DAP! Noktah!)

Rahman meneruskan tulisannya ‘Apakah DAP tidak rasis apabila projek perumahan kos rendah atau mampu milik di Pulau Pinang oleh agensi kerajaan pusat tidak diberi kelulusan?.

Rahman turut menuduh DAP rasis apabila mendakwa projek perumahan yang diluluskan untuk dibina di Pulau Pinang tidak mampu dibeli oleh bumiputera, selain turut menggelar DAP parti paling rasis dan cauvinis dalam negara ini.

Justeru Chong menasihatkan Rahman untuk merujuk cadangan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) yang bersetuju bahawa diskaun perumahan perlu diberikan kepada mereka yang berpendapatan rendah, tanpa mengira kaum.

Chong turut mencabar Rahman untuk membuktikan sama ada DAP pernah menyokong sebarang dasar bangsa atau perjuangan terhadap hak-hak sesuatu kaum sahaja..

“DAP tidak pernah menyokong mana-mana dasar berasaskan kaum kerana kami percaya sesebuah dasar perlu dirangka kepada keperluan, bertujuan memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

“DAP bukan sahaja berjuang dan melindungi hak-hak pembeli rumah bumiputera, tetapi akan melawan dan melindungi hak untuk semua pembeli rumah Malaysia tanpa mengira kaum.

“Apakah UMNO bersedia untuk melakukan perkara yang sama?, kata Chong. – Roketkini.com