Berita

Di Malaysia, ancam bakar bangunan dan kitab suci agama bukan lagi kesalahan?

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Adakah ancaman membakar bangunan milik orang lain dan membakar kitab suci agama lain bukan lagi menjadi kesalahan di Malaysia?

Demikian pertanyaan Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming selepas mendapat jawapan parlimen berhubung isu itu.

Jawapan parlimen Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam tentang perkembangan siasatan terhadap sekumpulan samseng pemuda Umno Wilayah Persekutuan yang diketuai Ketua Pemudanya Razlan Rafii di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana ancaman jenayah adalah ‘tiada tindakan lanjut’, dan siasatan hanya diteruskan di bawah Akta Perhimpunan Aman kerana berhimpun tanpa kebenaran.

Pada 22 Mei lalu, Razlan dan sekumpulan samseng pemuda Umno mengancam untuk membakar bangunan ibu pejabat DAP di sini, selain merosakkan papan tanda milik parti itu.

Semalam juga, jawapan parlimen yang senada diberikan kepada soalan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng tentang tindakan kepada Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali yang mengugut untuk membakar Bible berbahasa Melayu pada Januari 2013.

Menurut jawapan itu, hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati ancaman itu hanya ditujukan kepada individu yang disyaki mengedar Bible bahasa Melayu kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Jelutong, Pulau Pinang, dan tidak berniat untuk menimbulkan kekecohan agama.

Kian Ming berkata, ia dengan terang menyindir percubaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menjenamakan Malaysia sebagai sebuah negara ‘sederhana’.

“Saya mengecam sekerasnya keputusan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail (berhubung kes ugutan Razlan) walaupun Razlan jelas membuat ancaman itu. Tindakan beliau juga dilaporkan dengan meluas oleh media, dirakam dan dimuat naik di Youtube.

“Adakah ini bermakna Abdul Gani memberi restu kepada pihak lain untuk mengemukakan ancaman yang sama? Adakah tidak mengapa untuk membakar bangunan milik orang lain tanpa perlu berdepan dengan sebarang tindakan?” soalnya.

Jawapan kedua pula, katanya lagi, membayangkan ancaman membakar kitab agama selain daripada Islam tidak menjadi sebarang kesalahan.

“Mengambil kira kedua-dua jawapan itu, adakah ini bermakna ugutan membakar gereja, di mana Bible berbahasa Melayu atau Indonesia digunakan penganut Kristian kini dibenarkan?” soalnya lagi.Ekoran jawapan KDN berhubung kes ugutan Pemuda Umno Wilayah, DAP hari ini menimbangkan untuk mengambil tindakan mahkamah jika Abdul Gani tetap enggan menyemak semula keputusan ‘tiada tindakan lanjut’ tersebut. – Roketkini.com