Berita

Masalah pemerdagangan manusia di Malaysia tak dapat perhatian serius

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Peruntukan RM4 juta bagi menangani masalah pemerdagangan manusia dalam belanjawan Kementerian Dalam Negeri mencerminkan kerajaan tidak serius menangani jenayah besar itu.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim mendedahkan, berdasarkan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2013, kerajaan hanya membelanjakan 72.5% daripada belanjawan yang diperuntukan, iaitu, kira-kira RM2.9 juta daripada peruntukan asal RM4.0 juta.

Beliau berkata, kegagalan membelanjakan peruntukan mengundang persoalan, kerana kerajaan pusat sering membentangkan belanjawan tambahan sekali atau dua kali setahun, ekoran berbelanja lebih daripada yang ditetapkan.

“Disebabkan aktiviti pemerdagangan manusia yang tidak terkawal, Malaysia diturunkan ke kategori paling bawah iaitu Tahap 3 dalam Laporan Pemerdagangan Manusia 2014 Jabatan Negara Amerika Syarikat,” katanya dalam satu kenyataan.

Definisi Tahap 3 ialah bagi negara yang tidak memenuhi piawaian minima Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan 2000 (Amerika Syarikat), dan tidak mengambil usaha serius untuk memenuhi piawaian tersebut’.

Menurut Sim, laporan tersebut mengesahkan kewujudan bukti buruh paksa dan perdagangan seks (sex trafficking) di Malaysia, dan mangsa pemerdagangan manusia merupakan sebahagian besar daripada dua juta buruh migran tanpa permit di negara ini.

“Ini merupakan kali ketiga dalam tujuh tahun Malaysia diturunkan ke Tahap 3 dalam Laporan Pemerdagangan Manusia, yang diiktiraf antarabangsa sebagai satu piawaian usaha menghentikan jenayah pemerdagangan.

“Kesan penurunan gred tersebut bukan sahaja memalukan negara di mata dunia, malah mendatangkan kesan negatif dari segi ekonomi termasuk pengekangan akses kepada institusi seperti Bank Dunia,” katanya lagi. – Roketkini.com