Berita

Pulih sistem keretapi di Johor, jadikan pengangkutan awam utama

JOHOR BAHRU, 18 OKT: DAP Johor mencadangkan kerajaan negeri melalui Perbadanan Pengangkutan Awam Iskandar Malaysia (PAIM) bagi memulihkan perkhidmatan keretapi yang menghubungkan kota-kota dan pekan-pekan di negeri ini.

Menurut Pengarah Dasar DAP Negeri Johor Wong Shu Qi, PAIM yang dahulunya hanya memantau wilayah Iskandar Malaysia sahaja, akan diberi peranan baru agar pengangkutan awam seluruh negeri Johor turut diselia agensi tersebut.

“Suka saya mengingatkan pihak berkenaan bahawa keperluan perkhidmatan pengangkutan awam di negeri Johor akan menjadi isu yang kritikal seandainya tiada perancangan yang lebih holistik.

“Pihak DAP telah menyediakan satu memorandum pengangkutan awam untuk negeri Johor.

“Malah, kami mencadangkan supaya setiap negeri membuat satu pelan induk pengangkutan awam selaras dengan perancangan kebangsaan,” kata Shu Qi dalam satu kenyataan.

Kata Shu Qi, perkhidmatan keretapi yang menghubungkan kota-kota dan pekan-pekan Johor perlu dipulihkan dengan memanfaatkan landasan keretapi sedia ada dan projek landasan berkembar sebagai sistem pengangkutan awam terancang di Johor.

Antara cadangan dikemukakannya termasuk kerjasama dengan pemaju-pemaju agar perkhidmatan bas pengantara ditawarkan sebaik sahaja sesebuah kawasan perumahan siap dibina.

Beliau turut menggesa pembinaan projek landasan berkembar dari Gemas ke Johor Bahru dipantau bagi memastikan projek tersebut siap dilancarkan pada tahun 2015.

Sebelum ini DAP Johor pernah mencadangkan pelaksanaan sistem komuter di Wilayah Iskandar Malaysia dengan landasan berkembar agar lebih ramai penduduk mendapat manfaat daripada pembangunan prasarana di wilayah ini.

Menurut Shu Qi antara isu awal yang dibangkitkannya dalam perbahasan di Dewan Undangan Negeri Johor selepas pilihanraya umum ke-13 adalah isu pengangkutan awam.

“Saya berasa amat bersyukur kerana cadangan yang telah saya bangkitkan beberapa kali dalam sidang dewan akhirnya diterima oleh kerajaan negeri Johor,” katanya. – Roketkini.com