Berita

Utusan sekali lagi fitnah isu CEC, DAP timbang tindakan saman

KUALA LUMPUR, 19 OKT: DAP menyangkal sekeras-kerasnya fitnah terbaru akhbar Umno Utusan Malaysia yang kali ini mendakwa kononnya ada 120 cawangan parti itu yang belum didaftarkan turut mengundi dalam pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada 29 September 2013.

Fitnah itu dibuat melalui pojok ‘Awang Selamat’, lidah pengarang yang menjadi saluran utama memfitnah DAP di Mingguan Malaysia hari ini.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke Siew Fook berkata, 120 cawangan itu sebenarnya adalah jumlah permohonan cawangan baru yang telah dihantar namun masih belum diluluskan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Cawangan baru berkenaan langsung tidak terlibat dalam pemilihan tersebut.

“Selaku Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, saya ingin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan liar tersebut.

“Saya telah nyatakan berkali-kali, senarai perwakilan yang layak mengundi dalam pemilihan semula adalah senarai yang sama yang digunapakai dalam pemilihan Kongres Kebangsaan DAP pada 15 Disember 2012.

“Tidak ada sebarang perubahan dalam senarai perwakilan tersebut dalam pemilihan semula pada 29 September 2013 yang diarahkan oleh ROS,” katanya dalam satu kenyataan.

Malah, katanya lagi, ia tidak sepatutnya menimbulkan persoalan, memandangkan semua perkara berhubung isu itu telah pun dihantar kepada pegawai penyiasat ROS yang berkenaan.

Walaupun selepas keputusan Mahkamah Tinggi mengiktiraf CEC DAP sebelum ini, Utusan nampaknya masih belum berputus asa memburukkan DAP dengan menggunakan isu itu.

Selain dakwaan ‘120 cawangan itu, ‘Awang Selamat’ sekali lagi membangkitkan individu bernama ‘Father Augustus Chen’, yang sehingga kini gagal disahkan identitinya dalam kes saman Lim Kit Siang terhadap akhbar itu yang masih berjalan.

Kata Ahli Parlimen Seremban itu lagi, niat Utusan mengulangi pembohongan itu jelas bagi mengharapkan orang ramai mempercayainya.

“DAP tidak akan teragak-agak untuk mengheret Utusan Malaysia ke mahkamah sekali lagi sekiranya mereka meneruskan pembohongan dan fitnah terhadap kredibiliti pimpinan pusat DAP,” katanya lagi. – Roketkini.com