Berita

Isu ‘pendatang’: Bukti nyata kegagalan Umno-BN tadbir negara

GELANG PATAH, 23 OKT: Tindakan segelintir masyarakat yang masih menggunakan gelaran ‘pendatang’ bukti jelas kegagalan dasar 1Malaysia dan pembinaan 57 tahun negara di bawah pentadbiran Umno-BN, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu menegaskan, rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa atau agama adalah anak kelahiran tempatan dan 100 peratus warganegara.

Katanya, tidak ada sebarang justifikasi yang membolehkan mana-mana rakyat digelar ‘pendatang’, kerana istilah itu membawa erti yang kesat dan menghina.

“Memanggil rakyat Malaysia setia yang dilahirkan, dibesarkan dan akan meninggal dunia di negara ini dengan gelaran ‘pendatang’ adalah tindakan yang mesti dikutuk sebagai satu bentuk ekstremisme,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Tanbahnya, tindakan pihak yang mempersoalkan hak kewarganegaraan rakyat, merupakan satu daripada empat perkara ‘sensitif’ dalam Perlembagaan Malaysia 1971.

Menurut Kit Siang, kerajaan telah menubuhkan Jabatan Perpaduan Negara pada penghujung tahun 60-an yang kemudian dinaiktaraf sebagai Kementerian Perpaduan Negara pada 1972.

Namun katanya, ratusan juta ringgit perbelanjaan selama lebih empat dekad hanyalah suatu pembaziran apabila kerajaan gagal mewujudkan perpaduan di kalangan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengkaji semula secara serius kegagalan mereka, yang memberi lebih banyak keburukan kepada negara. -Roketkini.com