KUALA LUMPUR, 4 NOV: Sudah tiba masanya Kuala Lumpur dijadikan kerajaan negeri untuk membawa hala tuju baru ke arah tadbir urus yang lebih proaktif, kata Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng.
Katanya, dari segi ukuran belanjawan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapat peruntukan terbesar di Semenanjung dan ini mewajarkan pembentukan sebuah kerajaan negeri.
“Peruntukan kerajaan untuk tahun 2014 kepada Kuala Lumpur adalah sebanyak RM2.79 bilion, diikuti Selangor dengan RM1.85 bilion.
“Jika Perlis boleh membentuk kerajaan negeri dengan peruntukan kurang RM100 juta setahun, tiada sebab pengundi Kuala Lumpur tidak boleh diberi peluang memilih kerajaan sendiri,” kata Lip Eng dalam satu kenyataan.
Kuala Lumpur dikeluarkan dari Selangor pada tahun 1974 untuk mencegah berulangnya kejadian Dewan Negeri tergantung pada 1969 apabila kerajaan Perikatan dan pembangkang masing-masing memenangi 14 kerusi – langkah yang menyebabkan penduduk Kuala Lumpur hilang hak untuk memilih kerajaan.
Lip Eng yang juga Setiausaha DAP Kuala Lumpur menyatakan, terdapat keperluan untuk membawa pendekatan baru dalam pentadbiran ibu kota seperti bandaraya di negara-negara demokrasi lain.
Beliau merujuk idea yang dicetuskan sebelum ini oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pada Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan, 2 November lalu.
Justeru itu, beliau menyeru pengundi Kuala Lumpur memulakan perbahasan serius mengenai manfaat pembentukan kerajaan negeri demi masa depan ibu kota ini dalam tempoh 40 tahun akan datang. – Roketkini.com