Berita

Dua anak syarikat 1MDB gagal kemuka laporan kewangan

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Dua anak syarikat utama 1Malaysia Development Bhd (1MDB) iaitu Tenaga (Langat) Sdn Bhd dan 1MDB Real Estate Sdn Bhd gagal mengemukakan laporan kewangan yang berakhir sehingga Mac 2013.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata penyata kewangan yang perlu dikemukakan kedua syarikat tersebut adalah pada Mac 2012 atau 31 bulan yang lalu, dengan hutang kedua-dua anak syarikat 1MDB sehingga Mac 2012 ini dianggarkan berjumlah RM8.7 bilion.

“Awal tahun ini, 1MDB dikritik hebat kerana lewat menghantar penyata kewangan tahunan mereka sehingga Mac 2013. Ia akhirnya dihantar pada April 2014 selepas tertunda selama tujuh bulan.

“Nampaknya sikap teruk ini tidak boleh dipertahankan kerana  anak-anak syarikat 1MDB juga masih belum mengemukakan penyata kewangan mereka kepada Suruhanjaya Syarikat bagi tahun kewangan berakhir Mac 2014,” kata Pua dalam satu kenyataan.

Jawapan bertulis Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepadanya sebelum ini memaklumkan, akaun-akaun tersebut perlu dikemukakan pada September 2014, enam bulan selepas tarikh akhir pada Mac 2014.

Difahamkan, 1MDB memperolehi penangguhan selama sebulan dari tarikh akhir penyerahan, namun sehingga kini  penyata kewangan 1MDB dan anak-anak syarikatnya masih tidak boleh diperolehi.

“Adalah mengejutkan apabila syarikat milik penuh Kementerian Kewangan yang diterajui Menteri Kewangan dan Perdana Menteri sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat melakukan pelanggaran dibawah Akta Syarikat .

“Ini menunjukkan sikap tidak telus urus tadbir syarikat kerana hutang terkumpul kumpulan 1MDB melebihi RM36 bilion, di mana sekurang-kurangnya RM15.4 bilion dijamin atau diberi ‘surat sokongan’ oleh kerajaan,” katanya lagi.

Katanya lagi, antara kebarangkalian kelewatan laporan kewangan 1MDB dihantar ialah kerana memiliki juruaudit tidak cekap.

“Namun sangat menghairankan jika kewibawaan firma tersebut dipersoalkan, kerana Deloitte Malaysia sebahagian daripada firma antarabangsa, yang terlibat dengan akaun syarikat yang tersenarai dalam Top Fortune 500 (syarikat terbaik dunia).

“Maka hanya ada satu kebarangkalian – juruaudit enggan menandatangan (dan mengesahkan) akaun, terutama tanpa  nota, penafian dan kelayakan yang diperlukan.

“Saiz hutang, ditambah pula kurangnya ketelusan dan tadbir urus membawa kepada risiko yang amat tinggi bukan sahaja dalam pentadbiran 1MDB tetapi keseluruhan sistem kewangan Malaysia,” katanya lagi. – Roketkini.com