Berita

Zahid tak layak jadi pengerusi jawatankuasa tetap RCI Sabah

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi tidak layak untuk menjadi pengerusi bersama Jawatankuasa Tetap seperti disyorkan Suruhanjaya Siasatan  Diraja (RCI) mengenai masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, ini kerana Zahid menyatakan bahawa ‘projek IC’ yang menjadi punca masalah 40 tahun di negeri tersebut tidak wujud.

“Nampaknya seperti ada yang tidak kena. Bagaimana Zahid boleh menjadi pengerusi bersama Jawatankuasa Tetap untuk bertindak terhadap dapatan RCI Sabah, padahal beliau bersikap berat sebelah dan menolak penemuan RCI paling penting mengenai ‘Projek IC’?

“Dengan menegaskan ‘Projek IC’ tidak pernah wujud, Zahid menolak dapatan RCI Sabah dalam hal salah satu terma rujukannya yang paling penting,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Kit Siang mendedahkan bukti ‘Projek IC’ itu jelas dalam kandungan laporan tersebut, antaranya kenyataan Kee Dulkifli Kee Abdul Jalil seorang kerani pendaftaran yang bekerja dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kota Kinabali pada tahun1994.

Beliau memberitahu RCII berkenaan penglibatannya mengeluarkan 600,000 IC ragu dan 200,000 sijil kelahiran pendaftaran lewat secara tidak sah kepada warga asing beragama Islam dari Filipina dan Indonesia.

Manakala dua lagi pegawai kerajaan iaitu Asli Sidup, pembantu pegawai pendaftat dan Yakop Damsah, ketua pegawai JPN Tamparuli Sabah diarahkan Datuk Abdul Rauf Sani, Pengarah JPN Sabah ketika itu untuk ke Kuala Lumpur pada 1990 untuk memproses kad pengenalan biru kepada warga asing di Sabah untuk tujuan-tujuan politik.

Difahamkan sekitar 40,000 kad pengenalan diproses dan ditandatangani empat orang pegawai dalam masa satu bulan, dan dilamina sebelum dibawa pulang ke Sabah untuk diambil pemegang yang sepatutnya.

Ujar Kit Siang, pengakuan puluhan saksi dalam sisatan RCI Sabah menunjukkan wujud motif ‘Projek IC’ yang cuba dinafikan Zahid.

Tambahnya, laporan RCII turut mendapati oengakuan ramai bekas pegawai JPN itu yang menyokong keterangan masing-masing dalam butir-butir material dan mengakui keterlibatan mereka secara kolektif dalam sesetengah perincian, serta membuat tuduhan serius terhadap beberapa tokoh politik yang berpengaruh.

“Dalam hal ini, (Zahid) kehilangan hak untuk menjadi Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tetap untuk bertindak ke atas dapatan RCI Sabah,” tegas Kit Siang. – Roketkini.com.