Berita

“Peruntukan berbilion, satu kerja pun DBKL tak buat”

KUALA LUMPUR, 19 DIS: DAP hari ini mempersoalkan peruntukan RM2.44 bilion Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sedangkan semua kerja agensi kerajaan itu telah disumberluarkan.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata, tidak masuk akal DBKL mendapat peruntukan lebih tinggi berbanding belanjawan Selangor yang memiliki populasi 3.2 ganda lebih besar tapi langsung tidak memainkan peranannya dengan segala kerja diserahkan kepada agensi lain.

“Pengurusan sampah disumberluarkan kepada Alam Flora, kontrak pembetungan diberi kepada Indah Water, tandas awam dikawalselia Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Pembersihan sungai menjadi urusan syarikat swasta di bawah Jabatan Perdana Menteri, kontrak Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS) dijalankan Telekom Malaysia Bhd.

“Hal ehwal bil termasuk kutipan hasil pungutan pengiklanan serta lesen perniagaan pula dipantau dan disimpan rekodnya oleh Oracle Synergy Sdn Bhd. Jadi apa sebenarnya kerja DBKL buat?,” soalnya.

Sehubungan itu, Lip Eng menggesa Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjawab apakah DBKL kini sudah bertukar fungsinya kepada agensi penyumber luar terbesar di Malaysia dan bukan lagi menjaga kebajikan warga kota.

“Tidak hairanlah kenapa RM1.044 bilion yang merupakan 64.2 peratus daripada belanjawan pengurusan DBKL berjumlah RM1.63 bilion bagi tahun depan akan dibelanjakan untuk perkhidmatan dan bekalan bermacam-macam kontraktor.

“Selain daripada aktiviti berbasikal sebulan sekali pada hari tanpa kereta setiap pagi Ahad pertama setiap bulan, Tengku Adnan perlu menjelaskan kepada warga kota apa sebenarnya kerja DBKL setelah demikian banyak tugas-tugas telah disumberluarkan.

“Apakah tugas DBKL begitu picisan tarafnya setakat menukar nama jalan dan mengambil tindakan terhadap gelandangan?” tegas Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan itu lagi. – Roketkini.com